Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PENGGUNA LEGA KERAJAAN BATAL SAMAN AES – KOSMO – 29/8/18
29 Aug 2018

kosmo ( Pengguna lega kerajaan batal saman AES ) 29.8.18

Keputusan kerajaan membatalkan sebanyak 3.1 juta saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) membabitkan nilai RM435 juta barubaru ini nyata mengundang pelbagai reaksi daripada rakyat Malaysia.

Ada yang tersenyumg embira mendengar keputusan tersebut kerana tidak perlu lagi pening kepala menyelesaikan masalah saman yang tertunggak.

Namun, bagi segelintir yang telah membayarnya, keputusan itu dilihat tidak adil. Kita memahami kekecewaan golongan ini apatah lagi selepas diberitahu tiada bayaran balik akan dilakukan ekoran kekangan kewangan yang dihadapi kerajaan.

Bagaimanapun, selepas mengambil kira penjelasan panjang lebar Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook mengenai rasional pembatalannya, kita seharusnya akur dan menerimanya dengan hati terbuka.

Anthony Loke mendedahkan kerajaan sebenarnya tidak memperoleh sebarang keuntungan daripada kutipan saman tersebut.

Walaupun angka dan statistik yang diedarkan agak teknikal untuk dijelaskan, namun rumusan boleh dibuat bahawa saman RM150 yang dikenakan kepada setiap pesalah trafik hakikatnya dibayar sepenuhnya kepada dua syarikat pengendali AES.

Mengapa bayaran itu disalurkan kepada dua syarikat berkenaan? Jawapannya adalah kerana telah termaktub dalam perjanjian antara kerajaan terdahulu dengan dua syarikat berkenaan iaitu 50 peratus daripada kutipan saman hendaklah diberi kepada syarikat konsesi terbabit.

Secara terperincinya, pada November 2016, kerajaan memberi diskaun saman AES daripada RM300 kepada RM150 kepada pesalah trafik bagi menggalakkan pesalah membayar saman baharu ataupun yang telah tertunggak.

Malangnya, walaupun kerajaan memberi diskaun tersebut kepada pesalah trafik, perjanjian dengan syarikat konsesi tidak berubah.

Maka, jumlah RM150 yang dibayar pesalah trafik diserahkan bulat-bulat kepada syarikat konsesi menyebabkan kerajaan tidak memperoleh sebarang pendapatan.

Justeru, penjelasan ini sedikit sebanyak memberi kefahaman kepada rakyat berhubung keputusan kerajaan itu.

Walaupun begitu, perlu diingatkan AES tetap akan berfungsi seperti biasa, cuma bermula 1 September ini, tindakan penguatkuasaan itu akan diambil alih oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

“Kerajaan tidak akan menyambung kontrak dua syarikat konsesi yang mengendalikan sistem itu.

“Mulai 1 September ini, operasi kamera, mengambil gambar dan mengeluarkan saman AES semuanya akan dilakukan JPJ,” kata Anthony Loke.

Jelasnya, sebarang isu berhubung penguatkuasaan yang dikenakan kepada pesalah trafik akan diumumkan selepas JPJ mengambil alih sistem tersebut.

Sementara itu, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Mahfuz Omar yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Antisaman Ekor turut menyokong langkah pengambil alihan AES oleh JPJ.

Dakwanya, dua syarikat swasta iaitu Beta Tegap Sdn. Bhd. dan ATES Sdn. Bhd. yang mengendalikan operasi AES sebelum ini tidak mempunyai tanggungjawab mendidik pengguna jalan raya tetapi hanya mengaut keuntungan semata-mata.

“Apa yang penting ialah kita nak mendidik rakyat. Kita tidak boleh mengambil kesempatan untuk mendidik kemudian kita dapat duit rakyat. Ini syarikat swasta sebab itu mereka tidak ada tanggungjawab mendidik,” katanya.

Ketua aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia, Datuk Nadzim Johan berkata, keputusan itu melegakan ramai namun kerajaan diingatkan agar tidak sewenang-wenangnya melepaskan pesalah trafik.

“Keputusan ini memang melegakan orang yang tidak membayar saman, tapi kerajaan jangan pula hapuskan rekod kesalahan mereka ini supaya mereka tidak mengulangi kesilapan sama pada masa akan datang.

“Apa yang penting bukanlah nilai saman itu, sebaliknya kita perlu ada tahap kesedaran dan tanggungjawab kepada diri sendiri.

“Kalau kita memandu laju dan terlibat dalam kemalangan, yang menjadi mangsa tentulah diri kita sendiri. Jadi, di sinilah perlunya tahap kesedaran dan rasa tanggungjawab yang tinggi,” katanya.

Kepada pesalah yang telah membayar saman, fikirlah secara positif. Sekurang-kurangnya kita dapat mengambil pengajaran serta menjadi pemandu berhemah yang sentiasa beringat takut kena saman’ ketika memandu.

 

Artikel Oleh : Kosmo

PENGGUNA LEGA KERAJAAN BATAL SAMAN AES