Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PENGUAT KUASA TAK PERNAH MINTA WANG DARIPADA SAYA: ASRI – SINAR HARIAN – 11/08/2020
12 Aug 2020

SHAH ALAM – Pengasas Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid mendedahkan pihak penguat kuasa tidak pernah meminta suapan daripadanya selama 20 tahun berniaga.

Katanya, bagaimanapun tindakan pilih bulu sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan beliau sebagai peniaga burger di tepi jalan tidak dilayan seadilnya.

“Ketika PKP ramai orang yang berdepan dengan kesukaran terutama bagi peniaga-peniaga kecil seperti saya. Waktu perniagaan kami dihadkan setakat jam 10 malam tetapi mereka (kedai mesin judi) boleh beroperasi.

“Saya tahu tentang ini sebab mereka yang pergi main mesin judi beli burger dengan saya dan pengusaha kedai judi haram ini juga beli burger dan belanja pelanggan mereka,” katanya pada Wacana Sinar Harian Siri Ke- 186 bertajuk Isu Judi: Fitnah atau Realiti? di Studio F Kumpulan Karangkraf di sini hari ini.

Turut menjadi panelis ialah Penganalisis Jenayah, Kamal Affandi Hashim; Ketua Aktivis Persatuan pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Othman dan Azlan Shah Nabees Khan selaku moderator.

Beliau yang mempunyai lebih 100 cawangan gerai burger menyatakan pihak berkuasa juga tidak pernah memeras ugut beliau kerana kesalahan menjaja. 

Mohd Asri Hamid

“Pihak penguat kuasa tidak ganggu perniagaan gerai burger saya melainkan mereka menerima rungutan.

“Soal rampas dan sita gerai itu perkara biasa dalam perniagaan seperti ini. Saya ada tapak di Kuala Lumpur dan Gombak, Selangor tetapi tidak diusik. Ada juga yang baharu berniaga dua minggu atau dua bulan sudah diganggu,” katanya.

Ditanya, mengapa tidak memohon lesen perniagaan daripada pihak berkuasa tempatan, Asri berkata, soal permohonan lesen daripada PBT untuk menjaja bukan sesuatu yang mudah.

“Bukan semua PBT keluarkan lesen berniaga tepi jalan. Sebagai contoh kalau nak buka kedai atau premis restoran ada prosedur operasi standard (SOP).

“Sebab itu bila Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa dilantik, beliau telah meminta supaya PBT memudahkan urusan memberikan lesen,” katanya.

Artikel oleh: Sinar Harian

PENGUAT KUASA TAK PERNAH MINTA WANG DARIPADA SAYA: ASRI

https://www.sinarharian.com.my/article/96219/KHAS/Wacana/Penguat-kuasa-tak-pernah-minta-wang-daripada-saya-Asri