Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PENIPUAN PINJAMAN TINGGI KETIKA PKP – HARIAN METRO – 29/04/2020
29 Apr 2020

LEBIH 25 peratus daripada 500 aduan diterima Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) sepanjang bulan ini membabitkan penipuan pinjaman.

Setiausaha Kerja PPIM, Zharif Johor berkata, penipuan itu adalah kategori aduan tertinggi direkodkan setakat kelmarin yang bukan saja menyebabkan mangsa tidak memperoleh walau satu sen wang pinjaman malah kehilangan ribuan ringgit.

Menyasar individu yang disenarai hitam oleh bank atau tiada pengalaman melakukan pinjaman dengan mana-mana institusi kewangan, jelas beliau, dua modus operandi yang popular dikesan digunakan penipu atau “scammer”.

“Data kita tidak spesifik kepada tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tetapi angka ini asasnya memang direkodkan sepanjang April di mana PKP sedang berjalan.

“Majoriti scammer akan menawarkan pinjaman dalam jumlah tertentu namun meminta mangsa membuat pembayaran terlebih dulu kononnya sebagai caj perjanjian, pengurusan, cukai dan sebagainya sebelum wang pinjaman diperoleh.

“Ada juga scammer yang meminta dokumen peribadi dan kemudiannya mengugut untuk menyebarkan maklumat terbabit serta memalukan mangsa. Scammer menggunakan pelbagai nama termasuk koperasi dan syarikat untuk memastikan mereka kelihatan meyakinkan dan dapat memperdaya ramai mangsa,” katanya ketika dihubungi Harian Metro, hari ini.

Zharif menjelaskan, ada mangsa kerugian sehingga RM5,000 selepas melakukan pembayaran secara berasingan kepada scammer.

“Ia disebabkan manipulasi diatur scammer dengan mengatakan kononnya mangsa layak mendapat jumlah pinjaman lebih tinggi berdasarkan dokumen diserahkan.

“Misalnya, mangsa hanya ingin pinjam RM10,000 namun selepas dokumen diserahkan mangsa kononnya diteliti, scammer dakwa mangsa layak terima pinjaman sehingga RM50,000 namun mereka kenakan pelbagai caj.

“Apabila mangsa ingin batalkan pinjaman itu, dia diugut akan diambil tindakan undang-undang menyebabkan mereka terpaksa akur untuk teruskan (pinjaman),” katanya.

Mengulas lanjut, Zharif berkata, berdasarkan pemerhatian pihaknya, segelintir scammer pinjaman mempunyai kaitan dengan along.

Ini kerana katanya, terdapat akaun bank digunakan scammer untuk tujuan pembayaran dikesan milik along.

Zharif berkata, ketika ini, pihaknya banyak memfokuskan memberi kesedaran kepada pengguna supaya tidak terjebak sama ada dengan penipuan pinjaman mahupun along.

Jelasnya, jumlah aduan membabitkan along kebiasaannya tinggi selepas musim perayaan atau ketika permulaan sesi persekolahan.

“Ini trend biasa. Disebabkan itu, kita laksanakan pelbagai program advokasi dan pendidikan bagi mengelak pengguna terus bergantung kepada golongan along.

“Hanya pengguna mampu hentikan kegiatan penipuan sebegini. Apabila tiada lagi permintaan, insya-Allah penawaran (pinjaman along) akan terkubur,” katanya.

Artikel oleh: Harian Metro

PENIPUAN PINJAMAN TINGGI KETIKA PKP

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/04/572576/penipuan-pinjaman-tinggi-ketika-pkp