Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PENJENAYAH PENIPUAN MAKLUMAT PERIBADI LICIK PERDAYA MANGSA TERDESAK – UTUSAN MALAYSIA – 19/2/18
19 Feb 2018

Utusan ( kurang taksir hilang baba ) 19.2.18

KUALA LUMPUR 18 Feb. –  Fitrah seorang penjenayah, sudah semestinya merancang dengan teliti dan licik sebelum memperdayakan mangsa seperti yang dapat dilihat dengan jelas dalam kes-kes penipuan menggunakan maklumat perbankan orang lain.

Maklumat perbankan tersebut digunakan untuk menutup jejak kewangan (money trail) jenayah yang dilakukan bagi mengaburi bukan sahaja mata pihak berkuasa tetapi juga mangsa bagi mengelakkan diberkas.

Menurut beberapa mangsa penipuan yang ditemubual Utusan Malaysia, penjenayah-penjenayah berkenaan akan menggunakan sekurang-kurangnya lima atau enam akaun bank dan se­ring memberikan pelbagai alasan bagi meyakinkan sasaran jenayah mereka.

Menurut salah seorang mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Abdullah, 54, dia kerugian hampir RM40,000 ketika cuba membuat pinjaman peri­badi dengan sebuah ‘syarikat kewangan’ yang ditemui melalui me­dia sosial kerana terpedaya dengan taktik licik tersebut.

Abdullah berkata, pada peringkat awal, dia diberitahu permohonan pinja­mannya itu telah diluluskan namun penjenayah yang me­ngenalkan diri­nya sebagai Kennedy itu memaklumkan syarikatnya memerlukan wang berjumlah RM8,000 sebagai bayaran pengurusan dan turut memberikan nombor akaun yang perlu digunakan untuk mema­sukkan wang berkenaan.

Kennedy turut menjanjikan pihaknya akan memulangkan wang tersebut bersama ‘pinjaman’ yang telah diluluskan itu.

Bagaimanapun, selepas beberapa hari, penjenayah ber­kenaan sekali lagi menghubu­ngi Abdullah dan menyatakan ‘akauntan’ yang menguruskan pinjaman tersebut meminta Abdullah untuk memasukkan RM5,000 lagi ke dalam satu lagi akaun bank, kali ini untuk ‘urusan guaman’.

“Pada mulanya saya percaya kerana seorang rakan sebelum ini berjaya mendapatkan pinjaman daripada syarikat itu, namun selepas mereka terus meminta lagi wang, saya menjadi musykil dan memaklumkan kepada Kennedy mahu membatalkan permohonan pinjaman tersebut.

“Bila enggan akur, lelaki berbangsa Cina itu mengugut saya dengan mengatakan wang-wang yang telah dibayar sebelum ini adalah satu bentuk rasuah dan boleh menyebabkan saya dan akauntan dipenjarakan melainkan sejumlah wang lagi dibayar kepada syarikat sebagai denda,” jelas beliau.

Abdullah menambah, seba­nyak lima transaksi kewangan telah dilakukan yang mana setiap satu daripadanya menggunakan akaun milik orang yang berlainan.

Kes yang hampir sama juga berlaku kepada Roslina, 41, yang mana dia telah ditipu sebanyak hampir RM6,500 semasa hendak membuat pinjaman dengan ah long.

Menurut beliau, pada mula­nya, ah long itu memberikan alasan dia perlu membayar RM1,000 sebagai wang ‘bayaran peguam’ untuk meluluskan dan melepaskan pinjaman yang dimohon.

“Untuk setiap bayaran yang diminta, saya dikehendaki memasukkan bayaran tersebut ke beberapa akaun milik individu berbeza.

“Melihatkan ah long itu semakin lama semakin banyak meminta bayaran atas alasan untuk memproses pinjaman RM5,000 itu, saya batalkan niat untuk meminjam,” jelas beliau.

Selain Abdullah dan Roslina, terdapat banyak lagi kes yang sama terjadi di negara ini.

Rujukan dengan rekod laporan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menunjukkan terdapat hampir 150 kes penipuan seperti yang dilalui Abdullah dan Roslina berlaku pada 2017 sahaja.

Artikel Oleh : Utusan Malaysia

PENJENAYAH PENIPUAN MAKLUMAT PERIBADI LICIK PERDAYA MANGSA TERDESAK

 http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/video-kurang-taksir-hilang-laba-1.612008#ixzz57XZ2hKBB
© Utusan Melayu (M) Bhd