Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PERANGI MACAU SCAM HABIS-HABISAN – PPIM – HARAKAH DAILY – 09/10/2020
13 Oct 2020

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyeru agar semua pihak memainkan peranan dalam membanteras kegiatan sindiket penipuan Macau Scam dan judi dalam talian yang wujud sejak 10 tahun lalu di negara ini.

Pengerusinya, Dato’ Nadzim Johan berkata, ia perlu ditangani dengan kerjasama pelbagai pihak kerana melibatkan implikasi terhadap perkembangan sosial dan kewangan para pengguna.

“Bank Negara Malaysia (BNM), Polis Di Raja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), dan bank-bank persendirian perlu memainkan peranan dalam isu tersebut kerana permainan ahli sindiket ini cukup licik.

“Saya juga ingin meminta Pusat Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) yang diketuai oleh Datuk Seri Mustafar Ali untuk mengambil tindakan tegas terhadap jenayah sindiket berkenaan.

“Jadi, kita harap kegiatan seperti ini dapat ditangani secara bersungguh-sungguh kerana ia melibatkan satu jumlah yang besar dan mampu menjejaskan kehidupan sosial seseorang,” ujarnya kepada Harakahdaily hari ini.

Sementara itu katanya ketika diminta mengulas mengenai kredibiliti pegawai agensi penguatkuasa yang disyaki terlibat dalam melindungi kegiatan tersebut, beliau menjelaskan bahawa perlu adanya mekanisme bagi memantau segala kegiatan pihak berkuasa untuk mengelakkan insiden tersebut berulang dan memberi kesan dahsyat kepada para pengguna.

Dalam pada itu beliau menasihatkan orang ramai agar tidak mudah membuat keputusan segera jika mendapat sebarang panggilan yang mencurigakan.

Scammer ini akan menyamar sebagai penjawat awam seperti pegawai polis atau pun pihak mahkamah untuk menipu mangsanya.

“Kebiasaannya, scammer akan trigger mangsa dalam dua keadaan, pertama keadaan yang menakutkan yang mana menggesa mangsa supaya melakukan transaksi pemindahan wang ke dalam akaun tertentu dengan kadar segera.

“Kedua, mangsa akan ‘digula-gulakan’ sama ada dengan memenangi hadiah atau cabutan bertuah, lalu memintanya untuk memberikan nombor akaun bank bagi memudahkan proses transaksi dan sebagainya,” ujar Nadzim.

Artikel oleh: Harakah Daily

PERANGI MACAU SCAM HABIS-HABISAN – PPIM

https://harakahdaily.net/index.php/2020/10/09/perangi-macau-scam-habis-habisan-ppim/