Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PERLU AKTA LARANG MINUM ARAK DI TEMPAT AWAM – PPIM – HARIAN METRO – 30/11/2019
02 Dec 2019

PERLU perbincangan meja bulat segera antara kerajaan dan agensi di bawahnya untuk mewujudkan peraturan khusus melarang orang ramai meminum arak dan minuman mengandungi alkohol di tempat awam.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata, sudah sampai masanya satu akta atau peruntukan undang-undang diwujudkan dalam usaha menangani masalah sosial berpunca daripada meminum minuman keras seperti yang berlaku kebelakangan ini.

Katanya, perkara itu juga perlu dibawa ke parlimen untuk dibahaskan selain ada jawatankuasa bertindak di peringkat pihak berkuasa tempatan kerana apa yang diperlukan adalah peraturan dan penguatkuasaan.

“Banyak perkara yang akan timbul daripada isu mabuk, arak dan pengaruh alkohol ini. Bukan saja mengakibatkan kemalangan seperti yang berlaku baru-baru ini, tetapi banyak lagi isu lain, pergaduhan dan sebagainya yang sepatutnya boleh dicegah,” katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, pihaknya menerima aduan daripada orang ramai mengenai wujud kiosk menjual minuman beralkohol secara terbuka di sebuah kondominium mewah di ibu negara sejak lebih sebulan lalu sehingga mengundang rraksi kurang senang penghuni di situ.

Nadzim berkata, semakan pihaknya mendapati ia diusahakan sebuah restoran berkonsepkan francais dan diletakkan di bahagian depan premis berkenaan.

“Sebab itu kita nyatakan bahawa semua pihak perlu duduk dan berbincang apa peruntukan undang-undang sedia ada. Jika tidak, kita boleh lihat ada pihak sewenang-wenangnya menjual minuman keras, menyediakan tempat duduk untuk pelanggan lepak dan selepas itu mabuk,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Menteri Kesihatan Dr Lee Boon Chye berkata, pihaknya tidak mempunyai kuasa melarang orang awam minum arak di tempat tertentu kerana ia tertakluk di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan.

Nadzim berkata, selain daripada peruntukan undang-undang, pihak berkuasa juga boleh mengambil contoh dari negara luar mengenai kaedah yang bersesuaian untuk mengekang perbuatan itu atau menetapkan had penggunaannya di tempat tertentu saja.

Katanya, contoh dimaksudkan ialah Australia dan United Kingdom dan beberapa lagi negara yang mempraktikkan had penjualan serta penggunaan di dalam premis saja dan menggunakan bekas yang disediakan.

“Inikan pula kita negara Islam yang majoritinya adalah muslim. Mengapa tidak boleh. saya nampak, ia memang menimbulkan lebih banyak kebaikan kerana bukan saja yang minum selamat, orang lain juga akan selamat daripada sebarang kejadian luar jangka akibat pengaruh alkohol,” katanya.

Artikel oleh: Harian Metro

PERLU AKTA LARANG MINUM ARAK DI TEMPAT AWAM – PPIM

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2019/11/522100/perlu-akta-larang-minum-arak-di-tempat-awam-ppim