Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PERSATUAN HOTEL MALAYSIA MINTA TUNJUK SOP – BERITA HARIAN – 25/1/18
25 Jan 2018

BH ( persatuan hotel malaysia di cabar tunjuk sop )

 

Kuala Lumpur: Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) mencabar Persatuan Hotel Malaysia (MAH) mengemukakan prosedur operasi standard (SOP) yang didakwa bertaraf global bagi melarang pekerja wanita bertudung bekerja di hotel.

Presidennya, Datuk Mohamed Shafie BP Mammal, berkata sehingga kini MAH masih gagal menunjukkan SOP berkenaan yang menyebabkan diskriminasi kepada wanita bertudung untuk bekerja masih berlarutan.

Katanya, sehingga kini sebanyak 28 hotel bertaraf lima bintang dikenal pasti melarang kakitangan wanita memakai tudung dan ini seolah-olah bertentangan Perlembagaan Persekutuan yang mengamalkan kebebasan beragama dan menghormati agama lain.

“Kita tidak tahu motif sebenar peraturan itu ditetapkan di setiap hotel yang terbabit. Justeru, selagi tiada SOP ditunjukkan, kita menyeru pihak berkuasa terutamanya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menarik lesen hotel yang melarang pekerja wanita bertudung.

“Kedegilan pihak MAH bekerjasama dalam perkara ini membuatkan kami sebagai badan bukan kerajaan (NGO) tidak teragak-agak berpiket di depan hotel mereka, menyebarkan nama hotel atau membuat laporan polis,” katanya pada sidang media larangan pemakaian tudung bagi wanita yang beragama Islam bekerja di hotel, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, Presiden Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga dan Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), Prof Madya Dr Rafidah Hanim Mokhtar, Exco Hal Ehwal Wanita, Persatuan Kebajikan Serantau Muslim, Nurul Shuhadah Shuib dan Setiausaha Kewangan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Mohd Effendy Abdul Ghani.

Mohamed Shafie berkata, beliau turut kesal dengan tindakan sambil lewa dilakukan Kementerian Sumber Manusia (KSM) terhadap isu ini yang dilihat seolah-olah memihak kepada pihak hotel.

“Ini bukan isu baharu, jadi kita berharap dalam tempoh masa terdekat ini, KSM akan memanggil semua pihak terbabit bermesyuarat dan melihat apakah penyelesaian yang boleh dilakukan,” katanya.

Sementara itu, Dr Rafidah Hanim berkata, pihaknya mendapat lebih 20 aduan daripada pekerja hotel yang dinafikan hak memakai tudung biarpun sudah hampir 27 tahun bekerja.

“Kami juga mendapat aduan daripada pelajar yang ingin menjalankan latihan industri tidak diterima atas alasan sama, walhal di universiti sudah banyak kursus menawarkan bidang hospitaliti dan kulinari.

“Situasi ini boleh menyebabkan masalah mental kerana perasaan kecewa menguasai diri individu berkenaan, tertekan dan rasa seperti tidak dihargai. Persoalannya adakah rambut lebih penting daripada kemahiran mereka,” katanya.

 

Artikel Oleh : Berita Harian

PERSATUAN HOTEL MALAYSIA DICABAR TUNJUK SOP

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2018/01/380520/persatuan-hotel-malaysia-dicabar-tunjuk-sop