Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PPIM: ADAKAH BERLAKU PENYELEWENGAN DANA DALAM RELA? -WACANA.MY – 16/06/2021
17 Jun 2021

KUALA LUMPUR, 16 Jun —  Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) hari ini meminta pihak berkuasa menyiasat dengan mendalam kes di mana orang ramai mendapati mereka telah terdaftar sebagai anggota Jabatan Sukarelawan Malaysa (RELA) tanpa pengetahuan mereka, dan mempersoal kemungkinan adanya elemen penyelewengan di belakang tabir.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata, selain menjadi isu salahguna data peribadi, terdapat kemungkinan perbuatan ‘mendaftarkan’ orang ramai sebagai anggota RELA tanpa pengetahuan mereka bersangkutpaut dengan peruntukan tahunan kerajaan kepada jabatan itu.

“Berapa ramai rakyat Malaysia yang tidak sedar data peribadi mereka digunakan oleh RELA?” katanya ketika dihubungi Wacana.my hari ini, sambil mempersoal adakah pihak yang melakukan perkara ini menyalahgunakan jumlah ‘anggota hantu’ ini untuk menipu dana dan peruntukan yang diterima?

Setiap tahun, RELA dilaporkan memohon dan menerima peruntukan tambahan. Antaranya sejak 2012 hingga 2018, kerajaan telah menaikkan elaun anggota RELA sebanyak dua kali dengan jumlah keseluruhan RM4 untuk tempoh enam tahun. Selain itu RELA juga menerima peruntukan tambahan RM20 juta bagi pembelian pakaian seragam kepada kesemua anggota dan pegawai RELA pada tahun 2018 dan 2019.

Tahun lalu, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM153 juta dalam Belanjawan 2021 bagi mengukuhkan peranan jabatan itu.

Kata Nadzim, “Ke mana pergi dana peruntukan pakaian seragam kepada ahli yang tidak tahu pun mereka ahli, dan tidak pernah mendapat uniform ini?”

Baru-baru ini tular kisah tentang beberapa individu yang membuat laporan polis kerana mereka mendapati telah didaftarkan sebagai anggota RELA sejak 10 tahun lalu tanpa pengetahuan mereka. Walaupun semakan semula mendapati nama mereka tidak lagi tersenari dalam web RELA selepas berita itu tular, namun semakan di pejabat RELA mendapati nama mereka masih berdaftar sebagai ahli.

Nadzim berkata, PPIM mahu semua agensi terlibat memainkan peranan dan menjelaskan perkara sebenar.

“Ini melibatkan wang rakyat yang mungkin telah disalahgunakan sejak sekian lama, tidak kira kerajaan mana. Kita seperti tertipu dengan isu terbaru ini,” katanya.

Menurut Nadzim, walaupun pihak RELA masih berselindung disebalik kenyataan ‘siasatan akan dijalankan,’ rakyat mahu pihak berwajib turut sama mendedahkan jumlah dana yang telah diselewengkan.

Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri telah mengarahkan Jabatan Sukarelawan Malaysia untuk menyiasat kemungkinan berlaku penyelewengan data.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, kementeriannya telah berhubung dengan jabatan tersebut, dan akan memberikan beberapa hari untuk RELA melakukan siasatan lanjut.

“Pihak kementerian akan menunggu laporan tersebut diserahkan dalam beberapa hari lagi,” katanya.

Artikel oleh: Wacana.my

PPIM: ADAKAH BERLAKU PENYELEWENGAN DANA DALAM RELA?

https://wacana.my/ppim-adakah-berlaku-penyelewengan-dana-dalam-rela/