Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
2896) PPIM AKAN SERAH RESOLUSI PENINGKATAN KOS SARA HIDUP KEPADA KERAJAAN
20 Oct 2015

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) sedang merangka satu resolusi ber­kisar peningkatan kos sara hidup rakyat untuk diserahkan kepada kerajaan sebelum pembentangan Bajet 2016.

Setiausaha Agungnya, Datuk Dr. Maamor Osman berkata, resolusi itu akan mengambil kira pelbagai masalah yang menghimpit rakyat pada waktu sekarang.
Turut dimasukkan dalam resolusi itu, katanya, mengenai sistem cukai barang dan perkhidmatan (GST), multimedia dan isu berkaitan syarikat telekomunikasi yang masih mengenakan GST pada kad prabayar.
“Kita akan perhalusi isu-isu berkenaan untuk dipertimbangkan kerajaan dan dijawab dalam Bajet 2016. Setelah siap dirangka, resolusi itu akan diserahkan kepada Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Hamzah Zainudin,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penutup Forum Pengguna PPIM 2015 di Universiti Tun Abdul Razak (Unirazak), di sini hari ini.
Turut hadir pada forum itu ialah Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan.
Forum yang berlangsung selama dua hari bermula semalam diha­diri lebih 1,000 peserta yang turut melibatkan golongan mahasiswa Unirazak.
Bajet 2016 akan dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Parlimen pada 23 Oktober ini.
Tambah Maamor, beliau turut berharap Perdana Menteri mengumumkan Akta Produk Halal yang sudah dibincangkan sejak tiga tahun lalu.
Katanya, penggubalan akta itu mengambil masa yang panjang ke­rana banyak perkara perlu disela­raskan di peringkat kerajaan negeri dan Persekutuan.
Dalam perkembangan lain, Maamor turut mengumumkan penubuhan Skuad Bantuan Bencana Alam PPIM dan Yayasan Patriot Negara Malaysia.
Beliau memberitahu, sehingga kini, skuad bagi membantu dan menyelaraskan bantuan di negeri-negeri yang ditimpa bencana alam itu dianggotai kira-kira 180 orang. – UTUSAN