Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PPIM BANTAH KKM LANJUT HAYAT VAKSIN COVID-19 – MALAYSIA GAZETTE – 24/11/2021
25 Nov 2021

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) membantah sekeras-kerasnya keputusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk menambah jangka hayat vaksin Covid-19 yang akan tamat tempoh.

Pengerusi PPIM, Datuk Nadzim Johan mempersoalkan tindakan itu dan sejauh mana keputusan melanjutkan sehingga enam bulan bagi vaksin jenis Pfizer dan Sinovac tidak mendedahkan sebarang risiko kepada para pengguna.

“Sudahlah kita meragui status vaksin terhadap keberkesanannya dalam menjamin kesihatan manusia dan kini tiba-tiba dibebankan dengan vaksin-vaksin yang tamat jangka hayatnya.

“Para pembekal vaksin sepatutnya memikul tanggungjawab termasuk menyerap kos berkaitan sekiranya ada vaksin yang telah luput tarikh.

“Dalam peraturan makanan pun kita amat peka dengan tarikh luput, apatah lagi dengan bekalan vaksin sedia maklum tindak balasnya kerana kita tidak mempunyai apa-apa rujukan lagi tentang kesan-kesannya,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) meluluskan permohonan melanjutkan tempoh luput bagi vaksin CoronaVac dan Comirnaty, masing-masing bagi tempoh enam dan tiga bulan lagi berbanding tarikh asal yang dicetak pada label bebuli.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata, keputusan itu dibuat selepas mendapat permohonan variasi daripada syarikat Pharmaniaga Lifescience Sdn Bhd dan Pfizer (Malaysia) Sdn Bhd.

Katanya, ia berhubung pengemaskinian tempoh luput vaksin COVID-19 ‘Coronavac Suspension for Injection COVID-19 Vaccine (Vero Cell), Inactivated’ dan ‘Comirnaty Concentrate for Dispersion for Injection.

Nadzim berkata, tiada seorang pun pengguna berhak menerima bekalan vaksin yang telah tamat tempoh, sambil menyifatkan tindakan itu sebagai satu kesilapan dasar dan perancangan KKM.

“Sudah menjadi amalan dalam dunia perniagaan bahawa jika ubat-ubatan yang telah luput tarikhnya dilarang keras untuk dijual kepada orang ramai,  begitu juga dengan vaksin telah tamat tempoh.

“Apabila melibatkan keselamatan dan kesihatan, ia perlu dikaji sepenuhnya dengan bukti dan bukan semudah memberi kebenaran berdasarkan kelulusan oleh Badan Berkuasa Antarabangsa yang menyebabkan kecacatan dan kecederaan. “Ini merupakan satu kerugian yang perlu dipertanggungjawabkan kepada Menteri Kesihatan itu sendiri dan kerugian akibat vaksin tidak digunakan tidak boleh diserap melalui penambahan atau pelanjutan tempoh hayat sesuatu vaksin,” katanya lagi.

Artikel oleh: Malaysia Gazette

PPIM BANTAH KKM LANJUT HAYAT VAKSIN COVID-19

https://malaysiagazette.com/2021/11/24/ppim-bantah-kkm-lanjut-hayat-vaksin-covid-19/