Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PPIM GESA JAKIM PERKETAT PEMBERIAN LOGO HALAL DAGING IMPORT – MALAYSIA GAZETTE – 15/12/2020
15 Dec 2020

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mendesak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) memperketatkan proses pemberian pengiktirafan logo halal terhadap daging import.

Dalam masa yang sama, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar juga diminta bersikap proaktif supaya tidak ada lagi berlaku isu import daging haram.

“PPIM juga mendesak agar Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) turun ke padang dan mengesan apa jua bentuk rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa di setiap titik kritikal logistik, pentadbiran dan pengurusan pengimportan daging luar ini.

“Mereka mesti dibawa ke muka pengadilan dan carilah mereka sehingga ke lubang cacing sekali pun.

“Amatlah meyedihkan ketika kerajaan berusaha untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah hab halal terulung dunia dan sebagai penjana ekonomi negara yang utama, pengkhianatpengkhianat ini masih bermaharajalela dan memburukkan lagi keadaan sosial dan kemaslahatan umat Islam di Malaysia,” kata PPIM menerusi kenyataan hari ini.

PPIM sebelum ini terkejut apabila tidak ada satu agensi kerajaan yang dapat mengesan aktiviti menjual daging haram yang menggunakan sijil halal palsu seperti yang berlaku di Johor Bharu baru-baru ini.

“Lebih mengejutkan lagi ialah bagaimana tiada satu pun agensi kerajaan yang dapat mengesan aktiviti ini walaupun ia merupakan satu operasi yang besar. Sehingga kini tiada sebarang tangkapan dibuat oleh pihak berkuasa berkaitan dengan perbuatan khianat ini,” tambah PPIM.

Untuk rekod, gudang penyimpanan daging tersebut dikatakan terletak di Senai, Johor telah diserbu oleh pihak berkuasa pada 1 Disember lalu.

Susulan itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi memaklumkan kementeriannya kini sedang menyiasat kes berkenaan.

Artikel oleh: Malaysia Gazette

PPIM GESA JAKIM PERKETAT PEMBERIAN LOGO HALAL DAGING IMPORT

https://malaysiagazette.com/2020/12/15/ppim-gesa-jakim-perketat-pemberian-logo-halal-daging-import/