Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PPIM GESA KERAJAAN BERI MAKLUMAT JELAS JIKA MAHU LAKSANA LOCKDOWN – SUARA TV – 25/01/2021
26 Jan 2021

CYBERJAYA: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berharap kerajaan memberi maklumat yang jelas tindakan bagi membendunv penularan jangkitan Covid-19.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata perkara itu penting agar rakyat dapat melakukan persediaan lebih awal.

Nadzim berkata beberapa perkara kini membelenggu rakyat semasa negara diserang Covid-19, antaranya dakwaan ‘lockdown’ sepenuhnya.

“Rakyat perlu dimaklumkan sebab rakyat sudah pandai menilai. Rakyat perlu diberi maklumat yang jelas supaya kita dapat buat sesuatu.

“Mungkin kita (rakyat) boleh membantu kerajaan juga. Sebagaimana kita tahu kerajaan juga rasa tertekan. Jadi bagaimana kaedah yang perlu kita buat.

“Apa juga yang kerajaan mahu buat perlu diteliti kerana jika sebaliknya kita akan kecundang. Kerajaan ditekan mungkin oleh kuasa-kuasa dunia, dan akhirnya yang akan menanggung akibat adalah rakyat,” katanya seperti dilapor sebuah portal hari ini.

Semalam, terdapat laporan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) penuh, iaitu dengan menutup hampir kesemua aktiviti ekonomi, akan dilaksanakan sekiranya kes jangkitan Covid-19 gagal dikawal menjelang 4 Februari.

Amaran itu diberikan Dewan Perniagaan dan Industri Kesatuan Eropah (EU)-Malaysia (EuroCham Malaysia) dalam satu surat kepada ahlinya.

Kandungan surat itu menyatakan perkara itu dimaklumkan Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Lokman Hakim Ali semasa mesyuarat bersama EuroCham.

Namun, sehingga kini tiada kenyataan dan maklum balas daripada pihak kerajaan berkenaan isu terbabit.

Mengulas lanjut, Johan berkata, tidak perlu ada stigma perbezaan antara kerajaan dan rakyat kerana semua keputusan yang membabitkan penglibatan rakyat harus diumumkan segera.

Beliau berpendapat jika ‘lockdown’ sepenuhnya dilakukan, perlu ada kelongggaran yang diberikan kerajaan dari segi komitmen yang perlu ditanggung rakyat.

“Contohnya pengecualian dari bayaran bank, bantuan makanan daripada kerajaan, supaya rakyat tidak perlu keluar untuk cari makanan.

“Ini kerana, walaupun ‘total lockdown’ rakyat perlu juga keluar untuk mencari makanan. Jadi untuk itu kerajaan perlu teliti, kerana akan jadi huru hara sebab rakyat ada komitmen dan keperluan,” katanya lagi.

Berikutan itu, katanya, semua pihak harus bekerjasama untuk menghadapi apa juga tindakan yang akan diambil kerajaan untuk menjaga keselamatan rakyat bagi mendepani virus Covid-19.

Katanya, kerajaan perlu memastikan jika semua sektor ditutup, bantuan perlu benar-benar sampai kepada semua rakyat dan tidak terjadi lagi keciciran.

“Kerajaan tak perlu malu dan sorokkan situasi lagi. Rakyat boleh terima yang sekarang negara sedang usaha untuk jaga keselamatan dan membendung Covid-19.

“Kalau lockdown dibuat, jangan sampai menyusahkan rakyat. Sebab mungkin nanti akan dibuat lagi kerana Covid-19 masih ada dan kita tidak tahu bila ia berakhir,” katanya.

Artikel oleh: Suara TV

PPIM GESA KERAJAAN BERI MAKLUMAT JELAS JIKA MAHU LAKSANA LOCKDOWN

https://suara.tv/25/01/2021/ppim-gesa-kerajaan-beri-maklumat-jelas-jika-mahu-laksana-lockdown/