Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, punca utama kejadian tersebut adalah persepsi negatif dunia terhadap agama Islam dan penganutnya.

“Semua pihak di negara ini perlu berusaha mengubah persepsi negatif tersebut.

“Selama ini agama Islam dan penganutnya dianggap pengganas, namun jelas sekali kejadian hari ini menunjukkan jenayah kebencian terhadap Islam,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Nadzim memaklumkan, sudah tiba masanya dunia bertanggungjawab atas kematian umat Islam yang tidak langsung terlibat dengan keganasan atau jenayah namun mereka mati di tangan pengganas dengan keadaan yang begitu kejam.

“Jika perkara sama berlaku terhadap penganut agama lain, pemimpin-pemimpin dunia, selebriti dan seluruh warga akan mengutuk dan melabelkan pelaku sebagai pengganas, namun apabila kejadian seperti itu menimpa umat Islam, ia dianggap kes terpencil dilakukan orang kurang siuman,” ujarnya.

Lebih 40 orang terbunuh dan lebih 20 cedera parah dalam insiden dua serangan tembakan rambang di dua masjid di sini hari ini.

BBC melaporkan, perkara itu disahkan oleh Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern.

Ardern dalam satu kenyataan menyifatkan insiden berkenaan sebagai serangan pengganas dan merupakan satu perisitwa paling buruk dalam sejarah negara ini. – UTUSAN ONLINE