Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PPIM REKODKAN 25,000 KES KELDAI AKAUN SEJAK 3 TAHUN LALU – HARIAN METRO – 04/07/2020
06 Jul 2020

PERSATUAN Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menerima 25,000 kes keldai akaun yang didalangi sindiket di seluruh negara sejak tiga tahun lalu dan ia umpama kisah lama yang tidak selesai.

Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan berkata, 25,000 kes itu menerusi aduan terus kepada PPIM selain daripada maklumat diterima melalui rangkaian mereka.

Beliau berkata, isu itu berlanjutan hingga kini dengan jumlah mangsa dijangka meningkat ekoran terdapat kes terbaru beberapa minggu lalu.

Nadzim menggesa tindakan segera diambil pihak berkuasa untuk menghentikan perbuatan pihak tertentu yang menggunakan identiti orang lain untuk kepentingan sendiri, termasuk aktiviti menyalahi undang-undang negara.

“Ini isu yang kita terima beberapa tahun lalu dan seperti tiada kesudahan. Ada yang sudah dipenjara, ada yang terpaksa berkurung di rumah kerana takut. Peraturan yang ada pula meletakkan kesalahan kepada pemilik akaun walaupun dalam kes tertentu, mereka tidak mengetahui ia digunakan tanpa kebenaran.

“Sama ada kad pengenalan dicuri atau data diperoleh daripada pihak ketiga, mereka ini sudah dianiaya. Ada yang akaun mereka digunakan untuk urusan ceti haram, ada yang untuk perniagaan yang akhirnya terdedah kepada risiko mengambil deposit secara haram,” katanya.

Nadzim berkata, isu itu sudah dibawa ke pengetahuan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid, pada pertemuan baru-baru ini.

Menurut Nadzim, walaupun ia menjadi tanggungjawab Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Bank Negara Malaysia (BNM), namun peranan kementerian itu ditagih untuk memberi kesedaran kepada pengguna berkaitan kewujudan isu itu agar mereka mengambil langkah berhati-hati.

Sementara itu, Rosol berkata, pihaknya turut menerima aduan seumpamanya dan merujuk kes berkenaan kepada PDRM serta BNM.

“Walaupun ia di bawah bidang Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, tetapi kita cadangkan kepada Bank Negara supaya memperkenalkan aplikasi bagi membolehkan pengguna mengetahui jumlah baki dalam akaun.

“Ada individu memiliki dua tiga akaun bank, dengan adanya aplikasi ini, ia akan menjadi lebih mudah. Kita boleh tahu kalau tiba-tiba ada orang masukkan duit RM20,000 contohnya, ke dalam akaun kita dan kita ditangkap kerana jenayah perdagangan,” katanya.

Sehubungan itu, Rosol meminta orang ramai supaya lebih berhati-hati supaya tidak menjadi mangsa kepada pihak tidak bertanggungjawab, sebaliknya memastikan bahawa akaun milik peribadi tidak digunakan orang lain.

“Sebagai rasa tanggungjawab, kementerian ini akan membantu memberikan ceramah kepada ibu bapa dan pelajar khususnya, supaya lebih berhati-hati,” katanya.

Artikel oleh: Harian Metro

PPIM REKODKAN 25,000 KES KELDAI AKAUN SEJAK 3 TAHUN LALU

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/07/596534/ppim-rekodkan-25000-kes-keldai-akaun-sejak-3-tahun-lalu