Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PPIM SELAR TINDAKAN KERAJAAN SELANGOR DALAM MENGURUSKAN SUMBER AIR – MALAKAT TRIBUNE – 20/10/2020
20 Oct 2020

CYBERJAYA – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyelar tindkan kerajaan negeri Selangor yang mengambil sikap tidak acuh dalam melaksanakan tanggungjawab asas menyediakan bekalan air bersih yang berterusan kepada rakyat negeri tersebut.

Kata PPIM dalam satu kenyataan sebentar tadi, sudah acap kali gangguan bekalan air berlaku di dalam negeri tersebut, tetapi tindakan susulan berbentuk pencegahan terutamanya dalam isu membabitkan pencemaran sumber air masih tidak memuaskan.

“Pada 2012, kerajaan (negeri) Selangor telah bertindak memutihkan kebanyakan kilang-kilang haram dengan alasan untuk kelangsungan ekonomi negeri dan kilang-kilang tersebut.

“Adakah pihak berwajib bertindak memantau aktiviti-aktiviti pelepasan efluen kilang-kilang yang dilesenkan?’ kata PPIM dalam kenyataan tersebut.

Mengulas lanjut, PPIM berkata, air adalah hak semua dan kelestarian kebersihan sumber ini perlu dijaga oleh semua pihak.

Pihak berkuasa, khususnya kerajaan negeri, perlu menggalas tanggungjawab dalam memastikan pelaksanaan undang-undang dipatuhi dan merangka pelan yang mapan dalam memelihara dan memulihara kebersihan sungai.

Susulan itu, PPIM turut menggesa kerajaan negeri supaya mewujudkan sebuah jawatankuasa bertindak khusus menguruskan sumber air bagi menjamin pengurusan yang lebih telus dan bebas dari sebarang penyelewengan.

Selain agensi terbabit, jawatankuasa tersebut boleh juga diwakili oleh individu dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan badan bukan kerajaan (NGO).

“PPIM juga menggesa agar hukuman yang lebih berat bagi kesalahan-kesalahan berkaitan pencemaran sumber ini (dan) menyifatkan kesalahan ini termasuk dalam jenayah berat memandangkan air adalah sumber kehidupan.

“Kerajaan negeri, melalui PBT harus mengenakan syarat-syarat yang lebih ketat terutama melibatkan pembuangan efluen dengan mengambil kira lebih parameter-parameter dan agen-agen berpotensi menyebabkan pencemaran,” kata PPIM lagi.

Artikel oleh: Malakat Tribune

PPIM SELAR TINDAKAN KERAJAAN SELANGOR DALAM MENGURUSKAN SUMBER AIR

http://www.malakattribunenews.com/2020/10/ppim-selar-tindakan-kerajaan-selangor-dalam-menguruskan-sumber-air/