Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PPIM SOKONG PH HUKUM PEMBELOT NEGARA – MALAYSIA GAZETTE – 15/08/2019
16 Aug 2019

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyokong penuh kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai pembelot negara.

“PPIM amat bersetuju dengan kenyataan Perdana Menteri yang menegaskan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang belot kepada negara termasuk parti politik DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah),” kata pertubuhan itu dalam satu kenyataan hari ini.

Baru-baru ini Dr Mahathir dalam satu sebuah petikan video yang tular di media sosial berkata, beliau tidak akan berkompromi dengan mana-mana parti yang belot kepada negara.

“Tapi kalau DAP, Keadilan, Amanah membelot dan tidak lagi setia kepada negara, saya akan tukar kepada parti lain,” katanya di dalam video berdurasi 13 saat itu.

Sementara itu, Yayasan Patriot Negara Malaysia (YPNM) menyatakan ikrar taat setia kepada negara dan turut menyokong kenyataan Dr Mahathir.

Ketua Pegawai Eksekutif YPNM, Mohd Al Iman Zakaria berkata, pihaknya memandang serius isu pembelot negara dan mahu kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang merosakkan nama baik negara.

“Kami di YPNM berpendapat, sesiapa yang mengganggu-gugat keharmonian dan membawa budaya ekstremis kaum wajib dihukum atau diberi amaran tanpa mengira pangkat dan jawatan,” katanya.

Tambah Mohd Iman lagi, jurang perkauman ini juga ada kaitan dengan keadaan ekonomi negara ketika ini, sama seperti tragedi 13 Mei 1969 (dari rentetan beberapa kejadian dan ketidakpuasan hati golongan majoriti dan minoriti).

“Semua pihak wajib menerima hakikat bahawa Malaysia merupakan negara yang mempunyai masyarakat majmuk, yang  mana hubungan dan keharmonian antara kaum mestilah terjalin dengan baik,” katanya.

Mohd Al Iman mahu masyarakat menghentikan sebarang bentuk spekulasi yang boleh mengeruhkan lagi keadaan dan menjejaskan keharmonian agama dan kaum yang menjadi asas kekuatan Malaysia selama ini.

Artikel oleh: Malaysia Gazette

PPIM SOKONG PH HUKUM PEMBELOT NEGARA

https://malaysiagazette.com/blog/2019/08/15/ppim-sokong-ph-hukum-pembelot-negara/