Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PPIM wujudkan biro undang-undang – kosmo Online – 20/5/2017
20 May 2017

KUALA LUMPUR – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) melancarkan Biro Undang-Undang serta Kad Kaunseling dan Guaman (Kagum) yang berperanan memberi khidmat nasihat guaman bagi melindungi hak pengguna daripada menjadi mangsa penipuan.

Kagum yang dibentuk dengan kerjasama Malaysian Humanitarian Organization (MHO), mempunyai seramai 25 peguam terlatih dan 100 peguam sukarelawan yang akan membantu menyelesaikan kemusykilan pengguna.

Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan, berkata pembentukan biro berkenaan dibuat berikutan banyak kes penipuan sejak kebelakangan ini, yang lebih menjurus kepada berbentuk perjanjian dan pelaburan.

“Kesannya, hak mereka sebagai pengguna tidak terbela dan pihak yang menipu akan terus melakukan kegiatan itu kerana tiada tindakan undang-undang diambil ke atas mereka.

“Kami menubuhkan Kagum untuk membantu pengguna menyemak status dokumen perjanjian atau pelaburan yang akan ditandatangani sebelum perkara lebih buruk berlaku,” katanya ketika majlis pelancaran tersebut di sini hari ini.

Tambahnya, ada pengguna yang menjadi mangsa penipuan tidak mengetahui cara untuk mendapatkan bantuan guaman, selain kadar upah peguam membuka fail kes siasatan yang tinggi, malah ada yang lebih tinggi berbanding kerugian pengguna akibat penipuan itu.

“Kami akan cuba untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada pengguna yang memerlukan, saya jamin kadar upah yang dikenakan oleh pihak kami ini adalah yang paling minima.

“Sehingga kini, terdapat 30 kes penipuan termasuk pelaburan saham dan masalah pinjaman telah diterima oleh biro ini dan kami akan cuba menyelesaikan kes-kes ini secepat mungkin,” jelasnya.

Turut hadir, Setiausaha Agung Kagum, Hishamuddin Hashim. Orang ramai yang memerlukan khidmat nasihat daripada KAGUM boleh hubungi talian 011-11181000. – K! ONLINE