Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PRODUK MINUMAN KOREA TAK HALAL: MUFTI MINTA KEDAI SERBANEKA PEKA, GESA PIHAK BERKUASA SIASAT – MALAYSIA POST – 15/03/2021
22 Mar 2021

MUFTI Pahang, menggesa pemilik premis kedai serbaneka supaya lebih peka dengan status halal produk makanan dan minuman yang dijual premis masing-masing, bagi mengelak pembelian di kalangan umat Islam, terutama kanak-kanak.

Datuk Seri Dr Abdul Rahman Osman, berkata demikian mengulas isu produk minuman berasal dari korea yang dikatakan menjadi  ‘kegemaran’ kanak-kanak termasuk umat Islam kerana status halalnya tidak dinyatakan dengan jelas selain tidak diasing sebagai produk bukan untuk muslim.

Difahamkan, isu itu tular baru-baru ini, apabila seorang pengguna Facebook mendakwa beliau menerima maklumat bahawa produk minumanan yang dijual di kedai serbaneka 24 jam itu tidak halal, namun tidak disedari umum kerana ia bukan minuman beralkohol.

Malah, minuman itu juga dikatakan menjadi kegemaran kanak-kanak kerana pembungkusannya yang menarik menggunakan botol seperti beruang dan pelbagai karakter kartun lain yang comel.

Justeru, Abdul Rahman meminta pengusaha kedai serbaneka menghormati umat Islam di negara ini dengan mengasingkan produk yang tidak halal serta menyatakan secara jelas bahawa ia tidak boleh dijual kepada orang Islam.

“Pihak berwajib perlu pantau dan jalankan siasatan mengenai produk yang tular ini dengan segera. Jika benar ia tidak halal maka perlu diasingkan kerana kita tidak mahu umat Islam membelinya.

“Perlu diingatkan bahawa Malaysia adalah sebuah negara Islam dan pihak berkenaan perlu akur dan hormati institusi Islam di negara ini,” katanya kepada Malaysiapost.

Dalam pada itu, Abdul Rahman berkata, umat Islam juga tidak boleh memandang remeh isu halal dan menjauhi makanan syubhah.

“Islam meletakkan garis panduan halal haram jelas dalam pengambilan makanan dan minuman. Ia sebahagian tuntutan ibadah.

“Jadi ibu bapa juga dituntut supaya mendidik anak-anak masing-masing peka dengan status halal dan ajar mereka supaya tidak membeli produk makanan yang diragui,” katanya,

Abdul Rahman juga menggesa pengguna Muslim supaya mengutamakan aspek pemilihan makanan halalan tayyiban dalam kehidupan.

“Tambahan pula ketika ini banyak produk dari luar negara yang dijual di pasaran tempatan, jadi umat Islam diminta berhati-hati.

“Selain itu, pengguna Islam yang mempunyai maklumat mengenai produk tidak halal diminta memaklumkan kepada umum. Ia bagi mengelak orang lain daripada membelinya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berkata pihaknya akan turun padang dan menjalankan siasatan mengenai dakwaan berkenaan.

“Kita akan bekerjasama dengan pemilik premis kedai serbaneka berkenaan dan mendapatkan pengesahan mengenainya. Sekiranya benar produk minuman itu tidak halal, kita akan minta mereka mengasingkan produk itu ditempat sepatutnya,” katanya.

Beliau berkata, pengguna muslim diminta supaya ‘berhenti’ sementara daripada membeli produk terbabit sebelum siasatan lanjut dijalankan.

“InsyaAllah kita akan jalankan sisatan mengenai isu ini dengan segera dan akan memberi maklum balas mengenainya,” katanya.

Artikel oleh: Malaysia Post

PRODUK MINUMAN KOREA TAK HALAL: MUFTI MINTA KEDAI SERBANEKA PEKA, GESA PIHAK BERKUASA SIASAT

https://malaysiapost.com.my/2021/03/15/produk-minuman-korea-tak-halal-mufti-minta-kedai-serbaneka-peka-gesa-pihak-berkuasa-siasat/