Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PROGRAM ‘ANAK KAMI’ PPIM BANTU BAYI TIDAK SAH TARAF DAPAT KELUARGA ANGKAT – BERNAMA – 16/07/2019
16 Jul 2019

MELAKA, 16 Julai (Bernama)– Persatuan Pengguna Islam Malaysia telah membantu lebih 170 bayi yang tidak sah taraf mendapatkan keluarga angkat secara sah sejak 2017 sehingga kini menerusi program ‘Anak Kami’.

Ketua Biro Wanita PPIM Suraya Ali,37, berkata program itu adalah bagi membantu ibu terlanjur dan bayi mereka di mana keutamaan ialah bagi menjaga kebajikan bayi, ibu kandung dan keluarga angkat.

Beliau berkata pengalamannya membuat liputan kes pembuangan bayi ketika menjadi wartawan dengan Agensi Berita Nasional Malaysia selama tiga tahun bermula 2012 mencetuskan ideanya untuk mewujudkan program itu.

“Pembuangan bayi berlaku apabila gadis yang terlanjur itu disisihkan keluarga serta teman-teman sehingga mereka binggung dan akhirnya tertekan kerana tiada tempat untuk berkongsi masalah,” katanya kepada Bernama di sini.

Suraya berkata urusan penyerahan bayi kepada keluarga angkat akan dilakukan mengikut syarat ditetapkan ibu kandung serta prosedur Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Pendaftaran Negara.

“Syarat utama mendapatkan anak angkat melalui inisiatif ini adalah tiada unsur menjual dan membeli bayi dan kami juga tidak membenarkan keluarga angkat menawarkan sebarang sagu hati atau hadiah kepada ibu kandung,” katanya.

Beliau berkata semua pemohon diminta membuat sumbangan kepada Tabung Kemanusiaan PPIM di mana wang itu digunakan untuk membantu ibu kandung yang memerlukan.

“Semua keluarga angkat akan menjaga hubungan baik dengan ibu kandung dan kami memastikan anak mendapat khasiat susu ibu kandung sejak awal kelahiran.

“Kami juga mahu Ibu kandung mengetahui perkembangan anak dan tidak lepas tangan setelah anak diserah kepada keluarga angkat bertujuan mengingatkan mereka agar tidak melakukan kesilapan yang sama,” katanya.

Sementara itu, Ketua aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan berkata inisiatif tersebut tidak menggalakkan kelahiran luar nikah jauh sekali perbuatan zina.

“Apa yang program ‘Anak Kami’ buat ialah membantu mereka yang pernah melakukan kesalahan untuk kembali ke jalan yang lebih baik,” katanya dan menambah hampir semua ibu kandung yang menerima bantuan program itu kini sudah bernikah, mempunyai pekerjaan yang baik dan menamatkan pelajaran masing-masing.

Nadzim berkata bantuan diberi bukan hanya membantu menyelamatkan bayi, dan memberi kebahagiaan kepada keluarga angkat namun ia juga menyelamatkan wanita yang mengandung luar nikah daripada melakukan jenayah berat seperti membunuh atau membuang bayi.

Program itu turut membantu membimbing mereka untuk menjalani kehidupan yang lebih baik,” katanya.

— BERNAMA

Artikel oleh: BERNAMA

PROGRAM ‘ANAK KAMI’ PPIM BANTU BAYI TIDAK SAH TARAF DAPAT KELUARGA ANGKAT

http://www.bernama.com/bm/news.php?id=1746648