Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PROGRAM MINYAK PERCUMA INISIATIF YAS, PPIM BANTU RAKYAT – GETARAN – 20/10/2021
20 Oct 2021

KUALA LUMPUR – Wabak COVID-19 yang melanda negara sejak Mac tahun lalu mengakibatkan segenap lapisan masyarakat merasai tempiasnya.

Walaupun pelbagai sektor ekonomi telah dibuka selepas Kuala Lumpur beralih ke Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN), masih ramai lagi yang tertekan akibat kehilangan pendapatan kesan pandemik COVID-19.

Menyedari beban ditanggung rakyat, Yayasan Afdlin Shauki (YAS) dengan kerjasama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) mengadakan Program Minyak Petrol Percuma bertempat di Petronas Jalan Jelatek, semalam.

Afdlin Shauki Aksan
Afdlin Shauki Aksan

Pengasas YAS, Datuk Afdlin Shauki Aksan berkata, program itu merupakan inisiatif amat bermakna kepada rakyat yang terkesan akibat wabak COVID-19.

Menurut beliau, pihaknya amat memahami kesan pandemik itu ke atas orang ramai khususnya golongan yang kurang berkemampuan.

“Sebelum ini, kita telah melaksanakan banyak program memberi makanan dan bantuan untuk mereka yang tidak boleh keluar daripada rumah sebelum ini disebabkan sekatan pergerakan.

“Jadi, bila kelonggaran diberikan dan orang ramai sudah mula keluar rumah, kita mengambil pendekatan mengadakan program ini untuk membantu dan meringankan beban mereka yang keluar untuk mencari rezeki,” katanya kepada Getaran ketika ditemui di sini, semalam.

Afdlin Shauki membantu seorang penunggang motosikal mengisi minyak.
Afdlin Shauki membantu seorang penunggang motosikal mengisi minyak.

Menerusi program itu, Afdlin mengesahkan pihaknya telah memperuntukkan isian minyak penuh secara percuma untuk 300 motosikal tanpa mengira kapasiti enjin.

Jelasnya, kerjasama dengan PPIM ini juga banyak membantu meringankan golongan yang berdepan dengan kekangan kewangan.

“Kita memperuntukkan kira-kira RM3,000 dan jumlah itu merupakan dana yang telah kita terima daripada orang awam.

“Stesen minyak adalah tempat terbaik bagi kami mengadakan program tersebut selepas orang ramai telah dibenarkan keluar. Oleh kerana itu, kita laksanakan program tersebut di sini,” katanya.

Nadzim Johan
Nadzim Johan

Afdlin turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan yang sudi turun padang, sekali gus bekerjasama dalam membantu komuniti memerlukan.

“Kita sangat berterima kasih kepada PPIM kerana bersama-sama menjalankan program ini dan mereka juga sentiasa memberi sokongan, malah melahirkan keinginan untuk terus bekerjasama dengan YAS.

“Terima kasih juga kepada Toqqi (Nadzim) kerana turut hadir ke program tersebut. Toqqi memang seorang yang hebat. Dalam keadaan hujan pun dia sanggup bersama memeriahkan program itu semalam,” katanya.

Artikel oleh: Getaran

PROGRAM MINYAK PERCUMA INISIATIF YAS, PPIM BANTU RAKYAT

https://www.getaran.my/artikel/semasa/13339/program-minyak-percuma-inisiatif-yas-ppim-bantu-rakyat