Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
PROJEK PELEBARAN JALAN DI PASAR HARIAN SELAYANG PERLU DISEGERAKAN – SINAR HARIAN – 12/12/2019
17 Dec 2019

KUALA LUMPUR – Projek pelebaran jalan di Jalan Selayang Baru perlu selesai serentak dengan Pasar Harian Selayang dan pusat penyembelihan ayam halal dijangka siap antara pertengahan tahun depan hingga Mei 2021.

Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Malaysia, Datuk Seri Rosli Sulaiman berkata, tindakan tegas dengan meroboh struktur yang dibangunkan atas tapak projek perlu dilakukan.

Menurutnya, ia berikutan pencerobohan atas tanah kerajaan tersebut telah menyebabkan halangan dan mengganggu kelancaran projek pelebaran jalan kepada empat lorong itu.

“Projek pelebaran jalan itu baru berjalan 30 peratus disebabkan isu halangan. Kontraktor dilantik perlu menyiapkan projek mengikut jadual ditetapkan.

ARTIKEL BERKAITAN: 

Peniaga Pasar Selayang Baru enggan pindah

“Kelewatan siap projek boleh mengganggu trafik di kawasan tersebut terutamanya selepas siapnya pusat penyembelihan ayam Mei 2021.

“Ini kerana sekurang-kurangnya 200,000 ayam akan di proses sehari, bagaimana lori keluar masuk ke sana dan bagaimana nasib penduduk setempat yang bakal menggunakan jalan sama jika naik taraf jalan itu tidak disiapkan sebelum dua projek yang lain selesai?,” katanya pada sidang akhbar di Bangsar hari ini.

Turut hadir, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan.

Rosli berkata, beliau menyambut baik usaha Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan yang telah turun padang meninjau lokasi berkenaan semalam.

“Kita berharap kekebalan pemilik premis yang telah menggunakan tanah rizab Wilayah Persekutuan diambil tindakan sewajarnya.

“Gabungan juga telah bertindak membuat laporan kepada SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) terhadap isu pencerobohan tanah kerajaan itu awal November lalu kerana ada usaha menghalang projek pelebaran jalan itu dilaksanakan,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Peniaga Melayu Pasar Harian Selayang Kuala Lumpur, Rashid Ashfur berkata, projek pembangunan di kawasan Pasar Harian Selayang itu sangat ditunggu-tunggu selepas berdepan banyak masalah antaranya infrastruktur jalan sempit dan gangguan.

“Sebenarnya pelebaran jalan empat lorong ini belum cukup menyelesaikan isu kesesakan di sana. Apabila sesuatu kawasan itu dibangunkan ia akan menyebabkan pertambahan penduduk.

“Kita sambut baik usaha DBKL memajukan kawasan itu namun pada masa sama saya berharap kerajaan negeri Selangor juga melakukan perkara sama memandangkan lokasi projek terletak antara dua sempadan negeri berkenaan,” katanya.

Artikel oleh: Sinar Harian

PROJEK PELEBARAN JALAN DI PASAR HARIAN SELAYANG PERLU DISEGERAKAN

https://www.sinarharian.com.my/article/61515/EDISI/Selangor-KL/Projek-pelebaran-jalan-di-Pasar-Harian-Selayang-perlu-disegerakan