Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
‘RAKAMAN CCTV TIDAK DISUNTING’ – BERITA HARIAN – 08/08/2019
08 Aug 2019

Kuala Lumpur: Rakaman pergerakan individu yang mempunyai kaitan dengan tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Ittifaqiyah sehingga menyebabkan 23 penghuninya terbunuh, dua tahun lalu tidak pernah disunting pihak berkuasa.

Rakaman yang dirakam melalui sistem kamera litar tertutup (CCTV) di sebuah rumah di Jalan Datuk Keramat itu dimuat turun ke pemacu pena (pendrive) oleh Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah di Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Ampang, Asisten Superintendan (ASP) Saiful Azhar Rahim.

Saiful Azhar, 46, yang juga saksi ke-67 pendakwaan memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, semalam, beliau tidak membuat sebarang penyuntingan pada rakaman dirakam pada 14 September 2017.

“Rakaman bermula pada jam 12.25 pagi hingga jam 7 pagi itu disimpan dalam pemacu pena berkenaan.

“Kemudian, saya menyerahkan pendrive itu kepada Asisten Superintendan Rico Tay (Penolong Penguasa Polis Bahagian Siasatan Jenayah Khas D9, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur dan Asisten Superintendan Tay Chew Thwa @ Rico Tay) untuk siasatan lanjut,” katanya.

Saiful Azhar berkata, dekoder dan wayar kabel yang dirampas diserahkan kepada Inspektor Fairol untuk tindakan lanjut.

Beliau yang sebelum ini berkhidmat sebagai Pegawai Risikan dan Operasi di Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Wangsa Maju berkata, pasukannya pergi ke rumah di Kampung Datuk Keramat dan merampas dekoder berkenaan berserta satu kabel pada 17 September 2017 untuk siasatan lanjut.

Pada April lalu, Tay memberitahu mahkamah, imej sekumpulan individu bermotosikal berada di sekitar pusat tahfiz itu sebelum kebakaran berlaku dirakam melalui CCTV yang ada pada bangunan pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang terletak bersebelahan pusat tahfiz itu.

Dua remaja didakwa atas 23 pertuduhan membunuh 23 penghuni pusat tahfiz itu di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju di sini, antara jam 4.15 pagi hingga jam 6.45 pagi, 14 September 2017.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama dan sabit kesalahan boleh dihukum mati mandatori.

Bagaimanapun tertuduh di bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati mengikut Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001, namun boleh diganti dengan hukuman penjara selama diperkenan Yang di-pertuan Agong.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim, manakala peguam, Haijan Omar mewakili kedua-dua tertuduh.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung pada 24 hingga 26 September depan.

Artikel oleh: Berita Harian

‘RAKAMAN CCTV TIDAK DISUNTING’