Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
RAKYAT LEGA, BANTUAN PRIHATIN ELEKTRIK AMAT MEMBANTU – SINAR HARIAN – 22/06/2020
22 Jun 2020

SHAH ALAM – Pengumuman kerajaan menerusi Bantuan Prihatin Elektrik tambahan berjumlah RM942 juta kepada pengguna elektrik dalam kategori domestik di Semenanjung semalam mendapat maklum balas positif daripada rakyat.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, pengumuman bantuan itu sebagai satu berita baik yang boleh meredakan kemarahan kebanyakan pengguna yang mengadu tertekan serta tidak berpuas hati selepas melihat jumlah bil elektrik mereka melambung sebelum ini.

Mohd Yusof
Mohd Yusof

“Pengecualian dan potongan bayaran bil elektrik untuk tempoh tiga bulan bagi bil April, Mei dan Jun amat membantu khususnya kepada pengguna yang terkesan sewaktu PKP seperti hilang kerja, gaji tidak dibayar, gaji dipotong dan sebagainya,” katanya.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Othman berkata, langkah diambil kerajaan ini disifatkan sebagai langkah proaktif yang amat diperlukan semua khususnya golongan B40 serta mereka yang terjejas sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga hilang pekerjaan.

“Rakyat perlu bersyukur dan menghargai keprihatinan kerajaan serta TNB (Tenaga Nasional Berhad) terutama dalam tempoh sekarang,” katanya.

Dalam pada itu, pengumuman Bantuan Prihatin Elektrik Tambahan turut disambut baik oleh beberapa pemimpin pembangkang yang menyifatkannya sebagai hak yang memang harus diterima oleh rakyat.

Nadzim
Nadzim

Ahli Parlimen Wangsa Maju, Datin Dr Tan Yee Kew mengakui, bantuan tambahan itu lebih baik dan amat bermakna buat rakyat yang terjejas akibat Covid-19.

“Walaupun bukan semua menerimanya tetapi saya faham kerana bukan senang kerajaan mengeluarkan dana yang besar untuk bantu golongan yang terjejas kerana PKP,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.

Bagi Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng pula, rakyat wajar mendapat bantuan itu kerana penggunaan elektrik domestik rumah mereka meningkat disebabkan kepatuhan terhadap PKP demi mengekang penularan Covid-19.

Bagaimanapun, katanya, TNB perlu melonggarkan tempoh bayaran tunggakan kerana jumlah bil yang diterima untuk kiraan tiga bulan sekali gus itu membebankan pengguna.

Artikel oleh: Sinar Harian

RAKYAT LEGA, BANTUAN PRIHATIN ELEKTRIK AMAT MEMBANTU

https://www.sinarharian.com.my/article/88760/BERITA/Nasional/Rakyat-lega-Bantuan-Prihatin-Elektrik-amat-membantu!