Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
RATA-RATA NGO BANTAH KEPUTUSAN MENTERI BENARKAN SEMULA AP IMPORT SISA PLASTIK – KOSMO – 26/9/18
26 Sep 2018

Kosmo ( kerajaan tidak peduli nasib penduduk ) 26.9.18

KUALA LUMPUR – Keputusan kerajaan mengenakan levi RM15 bagi setiap tan sisa plastik yang diimport dari serata dunia menerusi permit import (AP) disifatkan sebagai tidak masuk akal dan menunjukkan menteri dan pegawai kerajaan tidak mengendahkan masalah kesihatan rakyat.

Rata-rata badan bukan kerajaan (NGO) sangsi dengan niat kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan yang mahu terus mengimport sisa plastik biarpun mengetahui risiko kesihatan ditanggung penduduk akibat aktiviti memproses bahan buangan tersebut.

Presiden Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (PEKA), Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata, keputusan kerajaan meneruskan import ‘sampah dunia’ tersebut bertentangan dengan perjuangan badan itu yang mahu menjaga alam sekitar.

“Membuka semula AP import sisa plastik selepas 23 Oktober ini dengan levi hanya RM15 bagi setiap tan sampah membayangkan kerajaan tidak peduli langsung dengan kesan buruk akibat aktiviti memproses sisa plastik kepada penduduk,” kata beliau ketika dihubungi semalam.

Sebelum ini Kosmo! melaporkan kebanyakan penduduk Kuala Langat, Selangor terpaksa memakai topeng muka bagi mengelak mereka terhidu asap yang dikeluarkan dari kilang-kilang memproses sisa plastik di daerah itu.

Menurut beliau, kerajaan sepatutnya mengharamkan negara ini daripada memproses sisa plastik seperti tindakan yang diambil negara-negara seperti China, Australia dan New Zealand.

Penasihat Undang-Undang Persatuan Tindakan Alam Sekitar Kuala Langat, Lee Chee Kwang berkata, kerajaan seharusnya mengharamkan terus industri memproses plastik di negara ini dan bukannya bersekongkol dengan syarikat memproses sisa plastik.

“Daripada levi hanya RM15 untuk import semula sisa plastik, berapalah yang kerajaan dapat. Lebih baik kerajaan mengharamkan industri itu demi kesejahteraan rakyat,” kata beliau.

Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd. Yusof Abdul Rahman berkata, kerajaan tidak harus membenarkan pengimportan sisa plastik ke Malaysia kerana terbukti pengoperasian memproses ‘sampah dunia’ itu memberikan kesan buruk kepada kesihatan rakyat negara ini.

“Walaupun mereka bayar levi tetapi masalah lebih besar akibat pemprosesan sisa plastik merisikokan penduduk berdepan pelbagai penyakit termasuk kanser,” katanya.

Turut senada ialah Presiden Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), S.M Mohamed Idris yang memberitahu, soal kadar levi tidak kira berapa mahal tidak penting kerana yang lebih utama ialah AP sisa plastik perlu dihapuskan demi kesihatan penduduk yang mendiami kawasan yang mempunyai kilang memproses sisa plastik.

“Kami akan menulis surat kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi membantah tindakan kerajaan membuka semula AP sisa plastik. Malaysia perlu mencontohi China mengharamkan import sisa plastik,” katanya.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan turut menggesa kerajaan mengkaji semula keputusan membuka semula AP sisa plastik seperti yang diumumkan.

“Kerajaan sewajarnya menyedarkan rakyat tentang bahaya pencemaran akibat memproses sisa plastik dan bukan menggalakkan import bahan terbuang tersebut diteruskan,” ujarnya.

Kemelut kilang memproses sisa plastik di Kuala Langat kembali hangat semalam apabila Zuraida Kamaruddin, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, mengumumkan permohonan AP sisa plastik dibuka semula pada 24 Oktober ini selepas dibekukan selama tiga bulan.

 

Artikel Oleh : Kosmo

RATA-RATA NGO BANTAH KEPUTUSAN MENTERI BENARKAN SEMULA AP IMPORT SISA PLASTIK