Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
RINA JUMPA NGO PERJUANG NASIB ADIK OKU BELLA – MALAYSIA GAZETTE – 10/09/2021
10 Sep 2021

KUALA LUMPUR – Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd. Harun telah mengadakan pertemuan dengan Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan nasib kanak-kanak Orang Kelainan Upaya (OKU) Sindrom Down bernama Bella yang telah disyaki menjadi mangsa penderaan.

Jelas beliau, antara NGO yang terlibat dalam pertemuan tersebut adalah Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Persatuan Wanita Ikon Malaysia, Persatuan Helping Shoulder, Pertubuhan Anti Diskriminasi & Salah Laku serta Persatuan Penguna Semboyan 1Malaysia.

Jelas Rina, sebagai menteri yang bertanggungjawab menjaga kebajikan dan kesejahteraan kanak-kanak serta OKU, beliau sentiasa mengikuti perkembangan kes adik Bella yang kini berada di bawah perlindungan, penjagaan dan pengawasan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

“Alhamdulillah, berdasarkan pemantauan saya, adik Bella kini kembali ceria dan menjalani kehidupan seperti kanak-kanak biasa.

“Saya berharap pertemuan ini, menjadi satu platform bagi mendengar pandangan dan suara NGO-NGO berkenaan. Wakil PDRM dan JKM juga telah menjelaskan intervensi yang telah dilaksanakan dalam mengendalikan kes ini.

“Menerusi pertemuan ini, saya berharap agar kes adik Bella dapat diadili mengikut
lunas perundangan yang sedang berkuatkuasa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Rina juga ingin mengulangi intervensi yang telah dilaksanakan oleh Kementerian
Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui JKM dalam kes itu selaras dengan akta yang sedang berkuatkuasa antar seperti menyelamatkan kanak-kanak; menempatkan kanak-kanak di tempat selamat; memberikan perlindungan, penjagaan dan pemulihan selaras dengan Akta Kanak-kanak 2001 dan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-kanak dan menyita Pusat Jagaan;

“Saya menyeru agar rakyat Malaysia terus menanamkan rasa cintakan keluarga dan menghargai anak-anak terutamanya anak OKU sebagai suatu amanah dan anugerah daripada Tuhan.

“Marilah kita mengambil peluang untuk mengukuhkan semangat agar sama-sama dapat berganding bahu membantu memperkasa dan meningkatkan kualiti hidup semua pihak
dalam Keluarga Malaysia.

“Saya memohon masyarakat awam untuk segera membuat laporan kepada pihak berkuasa PDRM ataupun Talian Kasih 15999 dan Talian Whatsapp 019-26 15999 yang beroperasi 24 jam apabila mengetahui atau mengesyaki apa-apa kes pengabaian dan penganiayaan kanak-kanak.

“Masyarakat awam juga boleh membuat laporan di 108 Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) yang berdekatan di seluruh negara,” katanya.

Pada 20 Ogos lalu, Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan mengabaikan seorang remaja perempuan sindrom down sehingga mengalami kecederaan pada Jun lalu.Bagaimanapun, tertuduh yang berusia 29 tahun itu membuat pengakuan tidak bersalah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.Mengikut pertuduhan, Siti Bainun didakwa sebagai individu yang bertanggungjawab menjaga remaja kurang upaya (OKU) berkenaan dan telah menyebabkan pengabaian sehingga mangsa mengalami kecederaan fizikal dan emosi.Kesalahan itu dibuat di sebuah unit rumah kondominium di Seksyen 10, Wangsa Maju antara bulan Februari sehingga Jun tahun ini yang memperuntukkan hukuman mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Artikel oleh: Malaysia Gazette

RINA JUMPA NGO PERJUANG NASIB ADIK OKU BELLA

https://malaysiagazette.com/2021/09/10/rina-jumpa-ngo-perjuang-nasib-adik-oku-bella/