Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
SALAH GUNA IMEJ ISLAM DI RESTORAN – SINAR HARIAN – 30/4/19
30 Apr 2019

Sinar ( salah guna imej islam di restoran ) 30.4.19

KESEDARAN masyarakat mengenai pengambilan dan penggunaan makanan halal di premis makanan biasanya bertempoh mengikut isu-isu yang berbangkit.

Penyalahgunaan imej Islam oleh sebilangan restoran beberapa bulan yang lepas tanpa mempunyai sijil halal yang sah di samping status pekerja dan tahap kebersihan yang diragui pernah menjadi topik perbincangan meluas dalam masyarakat Islam di Malaysia.
Pemeriksaan pihak berkuasa terhadap premis makanan dari 11 hingga 31 Januari 2019 sahaja mendapati 28 restoran daripada 1,975 buah premis secara sengaja telah menyalahgunakan imej Islam seperti memaparkan ayat al-Quran bagi menarik pelanggan Islam.
Angka ini sangat besar mengambil kira jumlah pemeriksaan yang telah dibuat. Bagaimanapun, isu ini semakin suram daripada arus perbincangan. Sesuatu industri tidak akan mampu bertahan lama tanpa adanya permintaan daripada pengguna.
Umum mengetahui bahawa industri halal wujud dan berkembang kerana adanya permintaan daripada pengguna yang mementingkan aspek halal dan kebersihan ditambah dengan peratusan umat Islam yang semakin meningkat.
Dianggarkan populasi umat Islam global akan menjangkau 2.2 bilion pada tahun 2030 dan ini sudah tentu akan menyumbang kepada perkembangan positif dalam industri tersebut.
Undang-undang yang menyentuh tentang aspek halal di samping sistem governan dalaman yang digariskan oleh pihak berkuasa adalah amat penting dalam memandu hala tuju industri.
Di Malaysia, Akta Perihal Dagangan 2011, Manual Prosedur Pensijilan Halal dan Sistem Jaminan Halal menjadi aspek penting ke arah pematuhan halal oleh entiti perniagaan dan pengawalan terhadap salah guna imej Islam bagi tujuan perniagaan.
Namun demikian, kuasa pengguna sebagai pemegang taruh tidak boleh dikesampingkan. Kuasa beli yang ada pada pengguna mampu mengawal sikap peniaga yang tidak beretika dalam menyediakan makanan dan perkhidmatan kepada pelanggan.
Pengguna perlu cakna dan berhati-hati dalam memilih serta membeli makanan, barangan dan perkhidmatan terutamanya jika tidak mempunyai sijil halal.
Sebaik mungkin pelanggan perlu mendapatkan maklumat terus tentang status halal daripada restoran makanan sekiranya mereka ragu-ragu tentang status premis tersebut.
Bahkan, mereka perlu melaporkan kepada pihak berkuasa seperti kementerian berkaitan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan pertubuhan bukan kerajaan seperti Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) jika terdapat salah laku dalam premis perniagaan.
Menggunakan makanan, barangan dan perkhidmatan halal adalah tanggungjawab semua umat Islam.
Sikap cakna dan tindakan yang proaktif dalam kepenggunaan sudah tentu akan menjadi signal penting kepada peniaga mengenai kehendak pengguna Muslim.
Para pengguna Muslim sudah tentu inginkan makanan, produk dan perkhidmatan halal, selaras dengan iklan dan imej halal yang ditonjolkan oleh entiti perniagaan, bukan sebaliknya.
Artikel oleh : Sinar Harian
SALAH GUNA IMEJ ISLAM DI RESTORAN
https://www.sinarharian.com.my/article/25801/KHAS/Pendapat/Salah-guna-imej-Islam-di-restoran