Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
SAMBUNG BAYAR,SAMBUNG BALA – HARIAN METRO – 31/1/2017
31 Jan 2017

harian metro 31.1.2017

Kuala Lumpur: Sambung bayar bermakna sambung bala. Perumpamaan itu diberikan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), berhubung isu sambung bayar kenderaan yang merekodkan kerugian lebih RM1 juta sepanjang tahun lalu.

Ia membabitkan kaedah bayaran bulanan kepada bank tanpa menukar nama menyebabkan pemilik kenderaan mengalami kerugian selepas syarikat jualan kereta terpakai ‘gulung tikar’ dan gagal dikesan.

Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan berkata, aduan isu berkenaan semakin meningkat kebelakangan ini selepas pengadu berdepan kemungkinan dimufliskan akibat kegagalan pihak ketiga membayar ansuran.

“Rekod kita mendapati, ia semakin meningkat. Pembeli asal menyerahkan kereta kepada syarikat jualan, namun tanpa pengetahuan mereka, ia diserahkan kepada pihak ketiga secara sambung bayar.

“Bagaimanapun, mereka gagal membayar dan beban itu ditanggung pemilik seperti disenaraihitamkan. Ada juga kes syarikat pun sudah tutup dan tidak bertanggungjawab kerana kenderaan sudah diserahkan kepada orang lain,” katanya pada sidang media semalam.

Nadzim berkata, pihaknya mencadangkan agar Akta Sewa Beli dikaji semula bagi memberi kemudahan kepada pengguna dari segi mendapatkan pinjaman baru atau menjadualkan pinjaman lama.

Katanya, Bank Negara Malaysia juga perlu mengambil pendekatan ‘mesra pelanggan’ dengan mengkaji semula syarat yang dikenakan bank untuk melelong kenderaan yang kini begitu membebankan.

“Peminjam sudah tak mampu bayar, kereta dilelong, tetapi masih perlu melunaskan baki secara sekali gus. Saya rasa ini perlu dilihat semula, bagaimana untuk memudahkan orang ramai.

“Ada yang berdepan masalah untuk mendapatkan pinjaman walaupun ada pembeli baru. Mereka juga jadi penjamin kepada pinjaman, tetapi dalam kes tertentu ada yang tidak lulus, sudahnya bayaran kereta tertunggak dan perlu membayar kadar faedah.

“Pendekatan kita mudah. Kalau seseorang itu mampu, dia tidak akan mengalami masalah pembayaran pun. Sudahlah ditipu syarikat jualan kereta, mereka pula disenaraihitamkan, bila masalah ini akan selesai,” katanya.