Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
‘SAYA GEMBIRA JUAL BUKU DI JALANAN’ – PUTERI BALQIS [METROTV] – HARIAN METRO – 10/01/2020
11 Jan 2020

https://www.youtube.com/watch?v=Hm3flrwQlsM&feature=youtu.be

PERNAH berada di puncak kegemilangan, pelakon cilik Puteri Balqis Azizi, 13, yang menderita sakit sejak dua tahun lalu, kini memilih menulis puisi dan menjualnya di jalanan bagi menampung kehidupannya seharian.

Pemenang Pelakon Wanita Terbaik (Drama) pada Anugerah Televisyen Asia 2014 itu kini bersama ibunya, Norashikin Mohd Aziz berulang-alik dari rumah mereka di Setia Alam, Selangor ke beberapa lokasi di ibu negara untuk menjual buku ‘38 Poems Of Puteri Balqis’ hasil nukilan sendiri ketika menanggung penyakit misteri sebelum ini.

Katanya, kehidupannya kini hanyalah bersama ibunya setiap hari menjual buku setebal 27 muka surat itu sama ada di Masjid Jamek, Masjid India, Pasar Seni atau Jalan Petaling di ibu negara sebagai mata pencarian walaupun sebelum ini bergelar bintang dalam industri hiburan tanah air.

“Sekarang Puteri suka menulis, jual buku dan lebih penting setiap hari dapat berdua bersama ibu. Kali terakhir berlakon ialah pada awal 2018 dan selepas itu Puteri banyak menulis. Sebelum ini Puteri ada masalah dalaman tapi doktor masih belum dapat sahkan apa sebenarnya penyakit Puteri. Muntah darah waktu berjalan, tidur, tersedak dan muntah, kesannya Puteri akan jadi lemah.

“Kami menaiki komuter selama sejam perjalanan, kami pergi Masjid India, Pudu merata kami pergi berdua. Kami jual kepada orang ramai, kalau kami ditolak itu perkara biasa, tak ramai yang perasan bahawa saya pelakon,” katanya ketika mengadakan pertemuan bersama Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan.

Ditanya sama ada dia akan membuat kemunculan semula, Puteri Balqis yang juga pemenang Pelakon Wanita Terbaik Drama pada Anugerah Skrin 2014 berkata, jiwanya kini lebih kepada penulisan puisi dan tidak ramai rakan selebriti tampil memberi sokongan.

Katanya, dia tidak mengimpikan kehidupan mewah namun cukup jika dapat bersama dengan ibu tersayang meneruskan hidup dan berharap agar sembuh seperti sedia kala untuk melakukan pelbagai aktiviti disukai.

“Ketika di jalanan, Puteri juga bergaul dengan gelandangan kerana ada ketikanya Puteri tidur di kedai mamak, tepi jalan kerana sudah lewat untuk pulang ke Setia Alam. Dari situ Puteri rasa bersyukur kerana ada lagi yang lebih susah dari kami.

“Namun, mereka sangat berbudi bahasa, cakap lembut dan Puteri juga belajar daripada mereka. Terima kasih kepada peminat dan keluarga yang sentiasa berada dalam suka duka. “Kebanyakannya tinggal kami bila kami semakin jatuh. Terima kasih banyak-banyak, pasti ada kemenangan untuk kami terutama golongan gelandangan di Kuala Lumpur,” katanya.

Sementara itu, Norashikin berkata, dia menyedari bakat penulisan puisi anaknya itu ketika sedang bertarung dengan penyakit lebih setahun lalu dan sejak itu, mereka berdua mengumpulkan karya dihasilkan untuk dibukukan oleh seorang rakan baiknya.

Katanya, sebagai ibu, dia melihat penulisan puisi paling sesuai buat Puteri dan bukannya bidang lakonan seperti sebelum ini dan mengharapkan sinar baru buat permata hatinya itu.

“Jualan buku ini tak menentu, ada masanya tak laku langsung. Jadi kami akan tunggu sampai esok, barulah balik ke Setia Alam. Tengok pada kesihatan kami juga kerana saya juga tidak sihat.

“Buat masa ini hati dia (Puteri Balqis) tidak lagi kepada lakonan tetapi menulis puisi. Puncanya ketika dia sakit dan keseorangan, dia berubah menjadi pendiam dan mula menulis puisi,” katanya.

Dalam pada itu, Nadzim berkata, pihaknya akan mendapatkan bantuan untuk dua beranak itu kerana potensi yang ada pada Puteri Balqis tidak wajar disia-siakan selain memerlukan sokongan semua pihak.

Menurutnya, badan berkaitan industri perlu memainkan peranan mereka membantu pelakon berbakat itu dan tidak meminggirkan dia walaupun menghadapi masalah kesihatan.

“Kita akan tengok juga, mungkin zakat boleh bantu. Puisi ini juga akan diterbitkan dalam edisi Bahasa Malaysia dan PPIM juga akan mencari kaedah bagaimana syarikat penerbitan lain juga boleh membantu,”

Artikel oleh: Harian Metro

‘SAYA GEMBIRA JUAL BUKU DI JALANAN’ – PUTERI BALQIS [METROTV]

https://www.hmetro.com.my/utama/2020/01/534000/saya-gembira-jual-buku-di-jalanan-puteri-balqis-metrotv