Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
SEBUT HARGA LAIN, CAJ SEBENAR LAIN – HARIAN METRO – 16/10/2019
16 Oct 2019

Kuala Lumpur: Sebut harga lain, harga tuntutan berbeza empat kali ganda. Itu senario berlaku apabila ada pusat perubatan di negara ini dikesan mengenakan caj melampau untuk membuat untung mudah di atas penderitaan pesakit.

Dengan beberapa kes dikesan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) sejak awal tahun ini, pihak terbabit didakwa tidak mengikut harga diberikan kepada pesakit, malah jumlah keseluruhan selepas sesuatu prosedur meningkat dengan ketara.

Ketua Aktivis PPIM Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya menerima aduan daripada seorang mangsa baru-baru ini yang terkejut selepas mendapati bil yang diterima jauh berbeza dengan sebut harga awal untuk menjalani pembedahan lutut.

Katanya, sebelum ini, pihaknya menerima banyak aduan mengenai caj tidak masuk akal oleh beberapa pusat perubatan termasuk yang dibiayai insurans dan mendapati ia semakin meningkat sejak kebelakangan ini.

“Kami pernah dedahkan ada syarikat insurans juga bersekongkol mengenakan bayaran maksimum kepada pelanggan. Sudahnya perlindungan bernilai ratusan ribu habis begitu sahaja.

“Sama juga dengan terbaru ini, mangsa menerima sebut harga tidak sampai RM40,000. Selepas dia setuju, pembedahan dijalankan dan harga yang perlu dibayar RM130,000. Kalau berbeza RM10,000 kita boleh terima, ini begitu jauh,” katanya.

Nadzim berkata, semakan pihaknya mendapati prosedur sama jika dilakukan di hospital kerajaan hanya berharga RM8,000 dan pihaknya mahu pihak berwajib menyiasat isu berkenaan bagi mengelakkan penganiayaan kepada pengguna.

Menurutnya, berdasarkan maklum balas diterima, pihaknya dimaklumkan ia membabitkan beberapa penambahan khidmat pembedahan namun kadar dikenakan terlalu tinggi.

“Kami juga semak ke atas pelbagai bayaran lain termasuk sesi rawatan rutin selepas pembedahan, ia masih di bawah RM100,000. Jadi kenapa perlu caj lebih sehingga pesakit terpaksa meneruskan rawatan di hospital kerajaan kerana tiada lagi insurans,” katanya.

Artikel oleh: Harian Metro

SEBUT HARGA LAIN, CAJ SEBENAR LAIN