Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
SEGERA SIASAT BENGKEL ‘PUTAR ALAM’ – HARIAN METRO – 17/08/2019
17 Aug 2019

KERAJAAN digesa menyiasat isu manipulasi dalam isu penyelenggaraan kenderaan milik agensi dan jabatan bagi memastikan ia mematuhi prosedur betul dan selamat digunakan di jalan raya.

Pengerusi Persatuan Pengguna Jalan Raya Kebangsaan (PPJK) Mohammad Hisham Shafie berkata, banyak isu membabitkan keselamatan kenderaan diterima pihaknya termasuk yang digunakan kakitangan kerajaan ketika bertugas.

Katanya, antara kes diterima termasuklah penggunaan alat ganti tidak mengikut spesifikasi serta caj lebih tinggi berbanding perkhidmatan disediakan syarikat atau bengkel tertentu.

“Isunya ialah ada pihak mahu mendapat untung mudah, buat kerja sedikit tapi caj penuh. Ia juga membabitkan kenderaan dihantar ke bengkel berdaftar dengan kementerian yang bayarannya dijamin kerajaan.

“Bila timbul masalah, baru timbul alat ganti tak tulen, minyak tak sesuai dan pelbagai lagi. Kalau begini, berapa banyak kereta digunakan berisiko terbabit kemalangan,” katanya kepada Harian Metro.

Beliau mengulas laporan akhbar ini mengenai pendedahan Kongres Kesatuan Sekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CEUPACS) mengenai kemungkinan tayar digunakan ambulans yang terbabit kemalangan maut 4 Ogos lalu tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.

Ia membabitkan rekod penyelenggaraan kenderaan turut dipersoalkan kerana ia menjadi salah satu punca kejadian yang mengorbankan pemandu dan pesakit.

Menurutnya, isu ini sudah berlarutan sejak beberapa tahun lalu dan masih berlaku kerana tiada ketegasan pihak berwajib dalam memastikan keselamatan kenderaan digunakan.

“Ambulans sepatutnya kenderaan paling selamat di jalan raya kerana ia digunakan untuk membawa pesakit. Tetapi lain pula berlaku kerana faktor kelalaian pihak tertentu. Rekod penyelenggaraan memang penting kerana ia adalah data keadaan sesebuah kenderaan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya menyokong kenyataan CEUPACS dalam isu itu dan berharap satu penyelesaian secara menyeluruh dibuat dengan memanggil beberapa agensi berkepentingan untuk berbincang.

Katanya, menerusi sesi dialog yang turut disertai kesatuan pemandu, ia boleh merungkai masalah berlaku selain mencari jalan mengelakkan perkara sama berulang pada masa depan.

Artikel oleh: Harian Metro

SEGERA SIASAT BENGKEL ‘PUTAR ALAM’

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2019/08/486734/segera-siasat-bengkel-putar-alam