Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
SEMAK STATUS HALAL MELALUI HBN – UTUSAN MALAYSIA – 05/03/2021
06 Mar 2021

CYBERJAYA: Status halal produk makanan kini mudah dikesan aplikasi Teknologi Halal Blockchain Network (HBN) yang dibangunkan Malakat Ekosistem bagi menambah baik sistem sedia ada.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, pengguna boleh memuat turun HBN itu melalui aplikasi telefon pintar dengan mengimbas Kod QR yang terdapat pada bungkusan makanan.

Menurut beliau, sistem tersebut sekali gus mampu menangani kes manipulasi status halal produk seperti isu daging kebelakangan ini oleh pihak tidak bertanggungjawab yang menjadi kebimbangan umat Islam khususnya.

“Saya yakin melalui HBN, ia dapat menambah baik sistem sedia ada yang dijalankan kementerian serta agensi dan jabatan seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam bersama-sama membantu memastikan bekalan makanan halal diterima pengguna adalah suci dan terjamin.

“Selain itu, keraguan ke atas status daging import dapat diatasi,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran HBN di Malakat Mall, di sini hari ini.

Yang hadir sama Pengasas HBN yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakat, Mohd. Fadzil Hashim.

Che Abdullah berkata, kementerian sentiasa prihatin dan sedia bekerjasama dengan pihak yang mahu membantu perkara yang membawa kebaikan kepada rakyat.

“Melalui aplikasi itu, pengguna dapat ketahui dari ladang mana lembu itu diternak dan di pusat penyembelihan mana ia disembelih menerusi info dan data rantaian teknologi HBN,” katanya.

Sementara itu, Mohd. Fadzil berkata, HBN yang dibangunkan sepenuhnya oleh pakar blockchain Melayu Islam tempatan bukanlah menggantikan standard halal Jakim sebaliknya ia memberi nilai tambah kepada produk-produk sumber makanan yang menggunakan teknologi ini.

Katanya, Malakat Mall melalui Malakat Food akan mengeluarkan daging halal menggunakan teknologi HBN untuk bekalan daging mentah di rangkaian-rangkaian kedai runcit di pusat beli-belah itu terlebih dahulu.

“Kita sasarkan bekalan daging yang diimport dari India akan mula diterima menjelang bulan Ramadan selain 100 jenama akan dipasarkan dalam Malakat Ekosistem pada tahun ini,” katanya.

Artikel oleh: Utusan Malaysia

SEMAK STATUS HALAL MELALUI HBN

https://www.utusan.com.my/nasional/2021/03/semak-status-halal-melalui-hbn/