Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
‘SUDAHLAH KITA RAGU KEBERKESANAN VAKSIN, SEKARANG NAK LANJUT JANGKA HAYAT PULA?’ – MAJORITI – 24/11/2021
25 Nov 2021

PERSATUAN Pengguna Islam Malaysia (PPIM) membantah sekeras-kerasnya keputusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi melanjutkan jangka hayat vaksin Covid-19 yang bakal tamat tempoh tidak lama lagi.

Pengerusinya, Datuk Nadzim Johan mempersoalkan sekiranya keputusan untuk melanjutkan jangka hayat bagi vaksin jenis Pfizer dan Sinovac itu tidak mendedahkan sebarang risiko kepada para pengguna.

“Sudahlah kita meragui status vaksin terhadap keberkesanannya dalam menjamin kesihatan manusia dan kini, kita tiba-tiba dibebankan dengan vaksin-vaksin yang tamat jangka hayatnya.

“Para pembekal vaksin sepatutnya memikul tanggungjawab termasuk menyerap kos berkaitan sekiranya ada vaksin yang telah luput tarikh.

“Kalau dalam peraturan makanan pun kita amat peka dengan tarikh luput, apatah lagi dengan bekalan vaksin yang kita tidak maklum akan tindak balasnya kerana kita tidak mempunyai apa-apa rujukan lagi tentang kesan-kesannya,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Terdahulu, KKM meluluskan permohonan variasi daripada syarikat Pharmaniaga Lifescience Sdn. Bhd. dan Pfizer (Malaysia) Sdn. Bhd untuk melanjutkan jangka hayat bagi vaksin Covid-19 mereka.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia masing-masing bagi Coronavac Suspension for Injection Covid-19 Vaccine (Vero Cell), Inactivated dan Comirnaty Concentrate for Dispersion for Injection.

Katanya, pelanjutan tempoh jangka hayat produk berkenaan telah diberikan berdasarkan data stabiliti terkini yang dikemukakan oleh pihak pengilang.

Tambahnya, pengilang diberi masa enam bulan dari tarikh kelulusan permohonan variasi untuk mengemas kini tarikh luput yang dicetak pada label vial untuk produk vaksin yang akan dikilangkan.

Mengulas lanjut, Nadzim menegaskan bahawa, tiada seorang pengguna pun yang berhak menerima bekalan vaksin yang telah tamat tempoh.

Beliau berkata, sudah menjadi amalan dalam dunia perniagaan bahawa ubat-ubatan yang telah tamat tarikh luput dilarang keras untuk dijual kepada orang ramai.

Justeru, katanya, vaksin yang telah tamat tempoh merupakan satu kesilapan Dasar dan Perancangan KKM.

“Apabila melibatkan keselamatan dan kesihatan ianya perlu dikaji sepenuhnya dengan bukti dan tidak dengan mudah memberi kebenaran berdasarkan kelulusan oleh “Badan Berkuasa Antarabangsa” yang dilaporkan ada menyebabkan kecacatan dan kecederaan.

“Ini merupakan satu kerugian yang perlu dipertanggungjawabkan kepada Menteri Kesihatan itu sendiri dan kerugian akibat vaksin tidak digunakan tidak boleh diserap melalui penambahan atau pelanjutan tempoh hayat sesuatu vaksin,” katanya.

Artikel oleh: Majoriti

‘SUDAHLAH KITA RAGU KEBERKESANAN VAKSIN, SEKARANG NAK LANJUT JANGKA HAYAT PULA?’

https://majoriti.com.my/berita/2021/11/24/039sudahlah-kita-ragu-keberkesanan-vaksin-sekarang-nak-lanjut-jangka-hayat-pula039