Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
SYOR TUBUH JAWATANKUASA KHAS SIASAT ISU KARTEL DAGING HARAM – ISMAWEB – 26/12/2020
28 Dec 2020

SHAH ALAM, 11 Jamadilawal 1442H, Sabtu – Satu jawatankuasa khas membabitkan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) perlu ditubuhkan bagi membantu pihak berkuasa menyiasat isu kartel daging yang diragui status halal dan kualitinya.

Pengerusi Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, beliau turut mencadangkan beberapa syarikat besar bergabung sebagai sebuah syarikat konsortium yang bergerak atas dasar kepentingan Islam.

Katanya, konsortium itu juga boleh berfungsi sebagai pusat sehenti untuk pembekal daging mendapatkan daging yang telah disahkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Kerajaan boleh menyediakan dana untuk peladang tempatan membela lembu mereka bagi mengurangkan import dari luar negara yang dapat mengurangkan risiko kemasukan daging haram ke Malaysia,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.

Mengulas lanjut, beliau berkata, tahap keyakinan rakyat serta institusi luar negara yang memandang tinggi keupayaan agensi di Malaysia menangani isu berkenaan semakin menurun.

“Ramai orang sudah mula membuat spekulasi yang mana agensi tersebut mungkin dikuasai oleh kartel daging terlibat,” katanya.

Sebelum ini, negara didedahkan dengan taktik jahat kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging berkenaan menggunakan logo halal dan menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia dalam serbuan bersepadu pihak berkuasa di sebuah gudang di Senai.

Berita Harian melaporkan kartel mempunyai ‘orang dalam’ pada semua peringkat prosedur dan pemeriksaan di pintu masuk, menyebabkan mereka kebal sehingga mampu beroperasi sejak lebih 40 tahun lalu.

Kartel daging didakwa menubuhkan syarikat proksi di negara ini dan dinamakan dengan nama berunsur Islamik dan kemelayuan yang boleh meraih keyakinan pengguna Islam.

Difahamkan, modal perniagaan setiap syarikat terbabit antara RM200,000 hingga RM300,000.

Bagaimanapun, KPDNHEP menafikan kegiatan kartel daging halal palsu telah wujud di negara ini sejak 40 tahun lalu.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, dalang utama kartel yang membungkus semula daging import dengan logo halal dan menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia di sebuah gudang di Senai, Johor akan didedahkan dalam waktu terdekat.

Artikel oleh: Ismaweb

SYOR TUBUH JAWATANKUASA KHAS SISAT ISU KARTEL DAGING HARAM

https://ismaweb.net/2020/12/26/syor-tubuh-jawatankuasa-khas-siasat-isu-kartel-daging-haram/