Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
TAK SUNTING RAKAMAN CCTV – HARIAN METRO – 08/08/2019
08 Aug 2019

KUALA LUMPUR: Seorang saksi memberitahu Mahkamah Tinggi di sini, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang memaparkan pergerakan individu dalam kes berkaitan tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Ittifaqiyah yang mengorbankan 23 nyawa, dua tahun lalu tidak pernah disunting pihak berkuasa.

Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah di Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Daerah (IPD) Ampang, Asisten Superintendan Saiful Azhar Rahim, 46, berkata rakaman CCTV di sebuah rumah di Jalan Datuk Keramat itu dimuat turun ke pemacu pena pen drive olehnya.

Saksi pendakwaan ke-67 itu berkata, dia tidak membuat penyuntingan pada rakaman yang dirakam pada dekoder bertarikh 14 September 2017.

“Rakaman yang bermula jam 12.25 pagi hingga 7 pagi itu disimpan dalam pemacu pena itu.

“Saya menyerahkan pen drive itu kepada Asisten Superintenden Rico Tay (Penolong Penguasa Polis Bahagian Siasatan Jenayah Khas D9, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, Asisten Superintendan Tay Chew Thwa @ Rico Tay untuk siasatan lanjut,” katanya.

Menurutnya, dekoder dan wayar kabel yang dirampas diserahkan kepada Inspektor Fairol untuk tindakan lanjut.

Saiful Azhar yang sebelum ini berkhidmat sebagai Pegawai Risikan dan Operasi di Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah Wangsa Maju berkata, pasukannya pergi ke rumah di Kampung Datuk Keramat dan merampas dekoder itu berserta satu kabel pada 17 September 2017 untuk siasatan lanjut.

Pada April lalu, Asisten Superintedan Rico Tay memberitahu mahkamah imej kumpulan individu bermotosikal berada di pusat tahfiz itu sebelum kebakaran berlaku dirakam melalui rakaman CCTV bangunan pejabat Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) yang bersebelahan pusat tahfiz itu.

Beliau berkata demikian pada prosiding perbicaraan kes dua remaja lelaki yang didakwa bersama-sama membunuh 21 pelajar dan dua warden pusat tahfiz itu.

Kedua-dua remaja itu didakwa atas 23 tuduhan membunuh 23 penghuni pusat tahfiz itu di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju, antara jam 4.15 pagi dan 6.45 pagi, 14 September 2017.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.

Bagaimanapun, tertuduh di bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati di bawah Seksyen 97(1), Akta Kanak-kanak 2001 namun boleh diganti dengan hukuman penjara selama diperkenan Yang di-Pertuan Agong.

Pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim manakala peguam bela Haijan Omar mewakili kedua-dua tertuduh.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah bersambung pada 24 hingga 26 September ini.

Artikel oleh: Harian Metro

TAK SUNTING RAKAMAN CCTV

https://www.hmetro.com.my/utama/2019/08/483929/tak-sunting-rakaman-cctv