Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
TAK WAJAR CAJ PENUH – HARIAN METRO – 29/06/2020
29 Jun 2020

SYARIKAT katering tidak boleh mengenakan caj penuh untuk perkhidmatan separuh atau kurang daripada itu susulan keputusan kerajaan menetapkan hanya 250 individu dibenarkan menghadiri majlis perkahwinan.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan berkata, tindakan untuk memaksa pelanggan membayar pada kadar penuh tempahan dianggap tidak wajar sama sekali.

Katanya, sepatutnya apa juga persetujuan sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dianggap terbatal kerana seluruh negara melalui proses pemulihan akibat Covid-19 dan hidup di dalam normal baharu.

“Sebagai pengguna, semestinya kita bayar apa yang kita pakai. Contohnya kalau kita buat majlis untuk 250 orang, kita bayar ikut jumlah itu.

“Walaupun tempahan yang kita bayar sebelum ini untuk 1,000 orang, ia tidak terpakai kerana keadaan sudah berubah dan wang baki itu juga perlu dikembalikan.

“Ambil dari segi mana pun, ia tetap tidak wajar untuk tidak membenarkan pelanggan membayar harga penuh untuk perkhidmatan yang sedikit. Mungkin perlu ada sedikit caj pembatalan, namun bukan paksa pelanggan bayar penuh,” katanya kepada Harian Metro.

Akhbar ini menerima aduan berhubung kebimbangan ibu bapa yang kini dalam dilema untuk mengadakan majlis perkahwinan kerana katering meminta bayaran penuh walaupun kerajaan menetapkan majlis boleh dihadiri seramai 250 orang saja.

Tindakan pengusaha berkenaan yang tidak mahu berkompromi dengan kadar yang dipersetujui sebelum ini amat dikesali dan membebankan.

Nadzim berkata, kerajaan juga digesa meneliti kebenaran yang diberikan berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang diguna pakai ketika PKP.

Artikel oleh: Harian Metro

TAK WAJAR CAJ PENUH

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/06/594614/tak-wajar-caj-penuh