Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
TEKNOLOGI BLOCKCHAIN HALAL DIBANGUNKAN MALAKAT DIIKTIRAF MENTERI – MALAKAT TRIBUNE – 05/03/2021
05 Mar 2021

CYBERJAYA – Teknologi Rangkaian Blockchain Halal (HBN) yang dibangunkan oleh Kumpulan Malakat menjadi bukti kepakaran umat Islam di negara ini dalam mencari penyelesaian kepada setiap permasalahan yang timbul khususnya berkaitan isu halal.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, HBN yang berupaya ‘menjejak’ dan mengesan status halal pada sumber dan produk makanan itu diharap menjadi mekanisme baharu dalam penambahbaikan kepada kaedah sedia ada.

Beliau turut menyatakan kekaguman terhadap usaha proaktif pihak Malakat Mall membangunkan teknologi pembekalan makanan yang dapat memberi jaminan halal yang sah kepada pengguna Islam di negara ini.

“Saya difahamkan, Halal Blockchain Network ini dibangunkan sepenuhnya oleh pakar blockchain Melayu Islam tempatan tanpa melibatkan syarikat asing. 

“Ini buktikan bahawa orang Melayu Islam tempatan mempunyai kepakaran dan kemampuan untuk mencari dan menghasilkan solusi kepada permasalahan dunia,’’ katanya ketika merasmikan pelancaran Teknologi Rangkaian Blockchain Halal (HBN) di Malakat Mall, di sini hari ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi (tengah) mengimbas kod Halal Blockchain Network (HBN) semasa melancarkan teknologi HBN sambil di iringi Pengarah HBN, Effendy Zulkifli (dua dari kiri), Pengasas Malakat Mall, Fadzil Hashim dan Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan.

Hadir sama Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) kementerian itu, Datuk Haslina Abdul Hamid; Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis), Dr. Azahari Sharidan Abu Bakar, Pengasas HBN yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakat, Mohd. Fadzil Hashim; Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan dan Pengarah HBN, Effendy Zulkifli.

Che Abdullah berkata, usaha itu juga selaras dengan usaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mengekang isu sesetengah pihak yang memanipulasi status halal pada produk daging import.

Beliau berkata, pelancaran teknologi berasaskan aplikasi dan laman web itu juga diharap menjadi nilai tambah dalam merancakkan industri bekalan makanan dan sekuriti makanan negara.

“Kehadiran saya pada hari ini adalah satu penghormatan kepada pihak Malakat yang bertungkus-lumus membangunkan teknologi yang cukup berguna untuk masyarakat Muslim.

“Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kumpulan Malakat atas jemputan untuk Pelancaran Halal Blockchain Network (HBN),” katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan kekaguman beliau atas kejayaan Malakat Mall mengharungi cabaran ekonomi tidak menentu akibat penularan Covid-19.

“Dalam situasi sukar ini saya kagum apabila organisasi ini semakin berkembang dengan kewujudan lebih banyak rangkaian pasaraya di seluruh negara melalui kempen dan galakan-galakan perniagaan yang giat dijalankan oleh pihak pengurusan Malakat Mall,’’ katanya.

Artikel oleh: Malakat Tribune

TEKNOLOGI BLOCKCHAIN HALAL DIBANGUNKAN MALAKAT DIIKTIRAF MENTERI

https://www.malakattribunenews.com/2021/03/teknologi-blockchain-halal-dibangunkan-malakat-diiktiraf-menteri/