Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
TEMAN MULA MENJAUH – BERITA HARIAN – 13/01/2020
13 Jan 2020

KUALA LUMPUR: Ujian bertimpa-timpa melingkari kehidupan pelakon cilik berbakat besar, Puteri Balqis Azizi, 13.

Selepas dikatakan menderita penyakit misteri, kira-kira dua tahun lalu, si cilik yang menggemparkan dunia seni dengan bakat lakonan hingga meraih trofi Pelakon Wanita Terbaik, Anugerah Televisyen Asia ke-19, kini diuji kesempitan hidup.

Umpama roda yang berputar, begitulah hidup manusia. Indah dan mewangi ketika nama meniti puncak populariti, namun, apabila tiba masanya, semua dibawa pergi.

Siapa sangka, bintang cilik yang pernah bersinar ini terpaksa mengikat perut dan tidak menjamah makanan selama beberapa hari, akibat desakan hidup.

Namun, bintang filem Makrifat Cinta dan KL Special Force itu tidak suka meminta-minta, jauh sekali menagih simpati.

Biarpun kesempitan hidup, Puteri Balqis tetap berusaha mencari pendapatan sendiri dengan menulis buku puisi dan menjualnya di jalanan.

Penderitaan hidup Puteri Balqis bersama ibunya, Norashikin Mohd Aziz lantas mendapat perhatian program Bersamamu yang disiarkan TV3, petang semalam.

“Kami pernah susah dan senang. Untuk kami, perubahan tiba-tiba itu indah sebenarnya.

“Tuhan tak mahu kami lupa diri, apabila kami kaya beli beg dan kasut mahal. Jadi, kami syukur dapat ujian begini kerana tidak mahu kami lupa diri… Terima kasih Tuhan.

“Diakui, kami pernah terputus makan dalam masa dua hingga tiga hari. Tetapi tiadalah sampai seminggu. Mummy selalunya memanaskan lauk, bungkus dan kami berjimat cermat makanan.

“Kalau terputus kena ikat perut sebab kami perlu mencari jualan. Kalau mendapat jualan, bolehlah makan isi perut,” kata Puteri Balqish yang membahasakan dirinya Aqish dalam temuramah bersama program Bersamamu terbitan TV3, semalam.

Balqis berkata, dia bersama ibu berulang-alik dari rumah di Setia Alam, Shah Alam ke beberapa lokasi di ibu negara untuk menjual buku puisi karyanya berjudul 38 Poems Of Puteri Balqis. Buku setebal 27 muka surat itu diterbitkan rakannya.

“Lama menaiki komuter, perjalanan kami mengambil masa selama sejam. Kadang kala kami tertidur akibat kepenatan.

“Apabila sampai di Kuala Lumpur, kami berjalan sekitar Pasar Seni, Masjid Jamek, Pudu, Jalan Petaling dan Bukit Bintang.

“Kami menegur orang merata-rata bertanyakan sama ada mahu membeli buku puisi. Tidak semua membeli, ada yang menolaknya.

“Ada masa, saya hampa apabila tiada jualan. Tetapi tidak mengapa, ujian itu indah,” katanya.

Pelakon drama Akulah Balqis itu berkata, dia tidak lagi kerap berlakon, kali terakhir adalah pada awal 2018.

“Saya lebih suka menulis puisi. Saya pemenang Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Televisyen Asia ke-19 tetapi jiwa saya lebih kepada menulis puisi.

“Harapan saya, apabila membaca buku puisi, orang faham perjalanan hidup saya. Saya bukannya mahu hidup mewah, tetapi saya ingin sentiasa bersama ibu.

“Saya lebih suka menulis buku puisi supaya boleh bersama ibu sepanjang masa,” katanya.

Tambah Puteri Balqis, dia tidak mempunyai ramai teman-teman selebriti.

“Tiada sesiapa yang beri sokongan kepada saya, lagi pun, saya kurang kawan dalam kalangan selebriti. Saya sentiasa berdua bersama ibu.

“Terima kasih kepada keluarga dan peminat yang masih setia dan bersama kami ketika suka dan duka. Namun, kebanyakan meninggalkan kami ketika semakin jatuh,” katanya.

Pelakon Wanita Terbaik Drama pada Anugerah Skrin 2014 itu berkata, sebelum ini, dia mempunyai masalah dalaman. Namun, doktor masih belum dapat mengesahkan penyakitnya.

“Saya ada masalah dalaman, selalu saja muntah ketika berjalan dan tidur. Apabila bangun dan tersedak, terus muntah darah. Kesannya membuat saya menjadi lemah,” katanya.

Ibunya, Norashikin berkata, dia berniaga di pasar pagi dan malam sejak Puteri Balqis kecil lagi.

“Orang tidak nampak apa yang Balqis lalui hari ini. Dia kelihatan sudah sihat tetapi sebenarnya, tidak. Balqis anak yang sangat kuat. Cuma saya risau, Balqis banyak bergantung kepada pil.

“Tidak semua orang tahu keadaan kami. Kami tidak berhubung dengan sesiapa, biarlah kami berdua saja. Lagi pula, jiwa Balqis sangat sensitif.

“Kami makan selalunya sehari sekali saja, itu pun sudah cukup buat kami. Jadi, saya beli makanan kesukaan Balqis seperti tauhu banyak-banyak, masak dan membungkusnya. Itu lebih jimat buat kami,” katanya.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan, berkata beliau bangga melihat kesungguhan bakat cilik itu menjana pendapatannya sendiri.

“Sebelum ini, saya ada membangkitkan mengenai lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) perlu mencari peluang dan memperkukuhkan kewangan.

“Contoh terbaik adalah Balqis. Usianya baru 13 tahun, tetapi pandai mencari inisiatif untuk menjana pendapatan sendiri.

“Kita patut berbangga dengan Balqis. Dia tidak meminta-minta sebaliknya berusaha mendapatkan apa yang dimahukan. Usaha ini patut dicontohi remaja lain.

“Saya sokong tindakan Balqis berusaha menyara diri dan ibu dengan menulis puisi. Seorang anak muda berusia 13 tahun yang dahulunya ‘home school’ boleh menulis dan berkarya sebaik ini,” katanya.

Tegas Nadzim lagi, bakat Balqis tidak sepatutnya dipersia-siakan, sebaliknya dihargai.

“Perlu ada agensi membantu mengasah dan memasarkan bakat serta kelebihannya. Ini mungkin dapat membantu dirinya menjana pendapatan untuk menyara hidup pada masa hadapan.

“Hasil penulisan Balqis bagus, orang dewasa pun belum tentu dapat menulis sebaiknya. Jika kita tidak menjaga bakatnya, rugilah… Bakatnya luar biasa,” katanya.

PPIM turut menggesa organisasi seperti Lembaga Zakat menghulurkan bantuan kepada Puteri Balqis dan ibunya bagi meringankan beban.

Sementara itu, penerbit Bersamamu, Nurul Fariha Onn berkata, pada awalnya, ibu Puteri Balqis enggan kehidupan mereka menjadi tatapan umum kerana bimbang dituduh meminta simpati.

“Pada awalnya, Norashikin meletakkan syarat tidak mahu berkongsi nombor akaun bank. Dia tidak sanggup menerima kecaman orang ramai memandangkan pernah menjadi mangsa fitnah.

“Bagaimanapun, kami berjaya memujuknya. Kami ikhlas membantu Balqis yang masih sakit. Tidak ramai peminat tahu kehidupan anak seni ini, jadi kami mahu berkongsi iktibar bersama penonton.

“Tiga hari kami mengikuti dua beranak ini menyoroti perjalanan kehidupan mereka. Jujurnya, Balqis dan ibunya sangat tabah berdepan ujian hidup,” katanya yang merakamkan episod bersama Puteri Balqis pada akhir bulan lalu.

Atas sikap prihatin, program Bersamamu turut membawa Puteri Balqis bertemu doktor bagi menjalani pemeriksaan selepas setahun tidak berbuat demikian akibat kekangan wang.

Sumbangan boleh dihulurkan kepada akaun Maybank Norashikin Mohamad Aziz 1627-7719-0105.

Artikel oleh: Berita Harian

TEMAN MULA MENJAUH

https://www.bharian.com.my/hiburan/selebriti/2020/01/646381/teman-aqish-mula-menjauh