Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
TIADA LAGI PEMBELIAN PANIK [METROTV] – HARIAN METRO – 17/03/2020
19 Mar 2020

https://www.youtube.com/watch?v=2wNm1aQWe6I#action=share

AKTIVITI pembelian panik yang berlaku di beberapa kawasan di seluruh negara, semalam kembali terkawal susulan Perintah Kawalan Pergerakan yang diumumkan kerajaan.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Rosol Wahid berkata, pemeriksaan mengejut di beberapa premis di ibu negara mendapati urusan perniagaan berjalan seperti biasa dan keadaan kembali tenang.

Katanya, setakat ini, tiada peniaga didapati menaikkan harga barang, malah mereka mematuhi peraturan untuk tidak mengaut untung mudah berikutan penularan wabak Covid-19.

“Saya sendiri buat pemeriksaan ke sebuah pasar raya, hari ini, bertanya kepada pengguna dan penjual untuk mengetahui kedudukan sebenar.

“Setakat ini saya boleh katakan semuanya terkawal dan pasukan penguat kuasa kementerian berterusan memantau keadaan di seluruh negara.

“Pembelian panik seperti semalam tidak lagi berlaku dan saya nasihatkan agar orang ramai tenang dan mengikut arahan dikeluarkan pihak berkuasa,” katanya.

Katanya, beliau mengambil inisiatif untuk turun padang bagi mendapatkan maklumat sebenar dan mendapati ia sama seperti laporan yang diterima daripada pegawainya sejak beberapa hari lalu.

ROSOL. FOTO BERNAMA
ROSOL. FOTO BERNAMA

“Saya sendirian, orang pun tidak kenal saya. Senang untuk buat pemantauan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, pihaknya mahu kerajaan memantau sebarang kenaikan harga di premis perniagaan di seluruh negara.

“Kita belum menerima sebarang aduan daripada pengguna mengenai kenaikan harga barangan. Namun, kerajaan perlu bersedia memantau premis perniagaan kerana peniaga boleh mengambil kesempatan terhadap pengguna.

“Ini kerana ada aduan peniaga menjual penutup mulut dan hidung tiga kali ganda berbanding harga kawalan.

“Mungkin ada barang lain juga naik harga, jadi kerajaan perlu pantau dan kita akan bantu salur maklumat,” katanya.

Artikel oleh: Harian Metro

TIADA LAGI PEMBELIAN PANIK [METROTV] 

https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2020/03/555594/tiada-lagi-pembelian-panik-metrotv