Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
TIDAK MAHU TUDING MANA-MANA PIHAK – BERITA HARIAN – 10/08/2020
10 Aug 2020

KUALA LUMPUR: “Tiada yang ganggu. Saya serah 100 peratus kepada Allah.”

Demikian kata pemilik perniagaan Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid, berikutan pendedahan menerusi videonya yang menimbulkan kontroversi sejak dua hari lalu berkaitan kewujudan beberapa premis judi, aktiviti penjualan rokok seludup serta operasi perniagaan haram dalam kalangan warga asing di sekitar Jalan Besar, Bandar Baru Sungai Buloh, Selangor.

Katanya beliau sendiri tidak menyangka pendedahannya itu akan menarik perhatian umum kerana hanya berkongsi masalah sebenar di kawasan berkenaan.

“Kepada pihak Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan peniaga lain, saya minta maaf.

“Lillahi Taala (kerana Allah), saya tiada masalah dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan tidak marah sedikitpun.

“Cuma, ada rasa cemburu apabila MBSA ‘kacau’ kedai saya tetapi tidak ambil tindakan terhadap kedai rokok seludup dan judi hingga mereka dapat beroperasi sehingga jam 3 pagi ketika premis lain sudah ditutup,” katanya menerusi siaran langsung yang disiarkan di Facebook Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), hari ini.

Siaran langsung itu diadakan selama hampir sejam bermula jam 12.30 tengah hari dan turut dihadiri ketua aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan.

Mohd Asri berkata, apa yang membuatkannya terkilan ialah apabila premis judi masih terus beroperasi walaupun selepas aduan dibuat kepada polis.

“Saya terkilan kerana sudah membuat aduan di Bahagian Perjudian (dan Maksiat) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman menerusi panggilan telefon meminta polis datang dan periksa pusat judi bebas dibuka.

“Apabila buat aduan, tutup dua hari kemudian ‘on’ balik (dibuka semula). Saya pergi pula hantar aduan kepada jabatan integriti tetapi tidak jalan (tiada tindakan) sebaliknya ada sindiket pula yang berjumpa budak saya (kakitangan) dan bertanya kenapa saya mengganggu perniagaan mereka.

“Kiranya, aduan itu sudah dibuat sejak tiga bulan lalu tetapi keadaan masih sama tetapi tidak sangka pula jadi begini (kontroversi),”katanya.

Bagaimanapun, Asri meminta orang untuk berhenti mengecam pihak polis sebaliknya mengajak semua bersama-sama membantu pihak berkuasa membanteras kegiatan perjudian atau aktiviti lain yang tidak bermoral.

“Tolong henti kecam polis. Mereka ini permata harapan. Mari sama-sama bantu polis dan saya minta persatuan penduduk serta qariah masjid untuk turut sama memainkan peranan,” katanya.

Sementara itu, Nadzim berharap orang ramai tidak menuding jari terhadap mana-mana pihak dalam isu itu.

“Sebaiknya kita bersama mengambil tindakan, tidak mahu salahkan pihak berkuasa, tak mahu menuding jari.

“Selain itu, kita minta kepada pegawai kerajaan sama-sama membantu memudahkan urusan mereka yang mempunyai masalah perniagaan. Kalau boleh, kita nak wujudkan keharmonian,” katanya.

Sehingga ini, tiga video dimuat naik di FB Hot Burger Malaysia yang tular itu masing-masing mencatatkan 5.9 juta, 2.9 juta dan 434,000 tontonan.

Susulan pendedahan itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, dalam kenyataannya semalam memaklumkan akan mengambil tindakan tegas terhadap mereka yang bersekongkol dalam isu itu.

Artikel oleh: Berita Harian

TIDAK MAHU TUDING MANA-MANA PIHAK

https://www.bharian.com.my/berita/kes/2020/08/719705/tidak-mahu-tuding-mana-mana-pihak