Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
2701) TIPU JUAL TELEFON MASIH BERLELUASA – UTUSAN MALAYSIA – 23/4/16
25 Apr 2016

image

KUALA LUMPUR 22 April – Masalah penipuan dalam penjualan telefon bimbit termasuk telefon pintar masih lagi berleluasa apabila terdapat pihak tidak bertanggungjawab menggunakan pelbagai strategi untuk memperdaya pengguna.

Belum reda lagi kes seorang pembeli ditipu oleh peniaga di Kompleks Kota Raya pada 14 Di­sember lalu apabila dikurung selama empat jam dan satu lagi kes pada 11 Julai lalu sehingga berlaku kekecohan akibat membantah penipuan penjualan telefon bimbit di Plaza Low Yat, kini berlaku lagi kes membabitkan telefon tiruan.

Mangsa, Muhammad Thaufiq Zulkifli, 23, memberitahu, dia mula tertarik dengan telefon pintar Apple jenis iPhone 6S apabila mendapati label yang tertera pada produk tersebut memaparkan harga RM350 di Kompleks Pertama kira-kira pukul 6 petang semalam.

“Saya hanya mahu mencari te­lefon pintar dengan bajet yang ada iaitu kira-kira RM350 di sini dan secara kebetulan ternampak produk itu di sebuah kedai. Saya pula difahamkan oleh peniaga itu bahawa telefon itu adalah barang terpakai dan sebab itulah harganya murah.

“Bagaimanapun, apabila saya pulang ke rumah dan tunjukkan kepada rakan, ternyata terdapat beberapa perkara yang meragukan terhadap telefon itu apabila ada fungsi-fungsi produk tersebut tidak sama dengan produk asal,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Tambahnya, dia telah pun membuat laporan polis dan aduan kepada Kementerian Perdaga­ngan Dalam Negeri, Koperasi dan Ke­penggunaan serta pihak Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) selepas berasa tertipu dengan helah peniaga terbabit.

Hari ini, pihak PPIM yang dike­tuai oleh Pengarah Unit Tindakan Khasnya, Muhammad Yusuf Azmi menerjah ke kedai terbabit bagi mendapatkan penjelasan lanjut oleh peniaga berkenaan.

Sepanjang menjalankan rundingan, peniaga terbabit ibarat cuba menegakkan benang yang basah apabila mendakwa dia tidak menipu Muhammad Thaufiq kerana mengatakan bahawa pengguna sendiri perlu tahu bahawa itu adalah telefon tiruan kerana harganya terlalu murah.

Muhammad Yusuf bagaimanapun tidak boleh menerima alasan peniaga itu kerana tiada sebarang label telefon tiruan diletakkan pada produk tersebut dan perkara itu menyebabkan pengguna terkeliru, malah tidak dijelaskan kepada pembeli.

“Resit yang diberikan kepada pengguna pun amat meragukan kerana nama syarikat serta cap rasmi tidak disertakan, apatah lagi jumlah harga dikenakan. Jika pengguna mahu membawa kes ini kepada pihak berkuasa pun bakal menimbulkan masalah kerana tidak cukup bukti.

“Kita harap pihak berkuasa dapat melakukan pemantauan berterusan terhadap kes seumpama ini kerana sudah kerap kali berlaku dan kita pun tidak mahu kes seperti yang berlaku di Plaza Low Yat, Bukit Bintang terjadi lagi apabila pengguna mula mengambil tindakan sendiri,” jelasnya.

Sumber : http://ift.tt/21bEgzy

Dari Laman Web Rasmi PPIM http://www.ppim.org.my/