Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
TIPU PENGELUARAN KWSP – MINGGUAN MALAYSIA – 19/11/17
22 Nov 2017

Artikel Oleh : BERNAMA

Mingguan Malaysia ( Berpakat Tipu KWSP ) 19.11.17

 

MIngguan Malaysia ( Tipu Pengeluaran KWSP ) 19.11.17

 

PUTRAJAYA 18 NOV – Tidak memahami syarat pengeluaran, sukar mendapat pinjaman dan tertekan dengan kos sara hidup merupakan antara punca pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) terjebak dan mudah tertipu dengan aktiviti penipuan pengeluaran simpanan oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Keadaan itu menyaksikan pencarum sanggup berpakat dengan sindiket atau ejen yang sentiasa “mempunyai maklumat” mereka yang berdepan masalah kewangan sehingga sanggup bekerjasama menipu KWSP dengan menyediakan dokumen palsu bagi merealisasikan hasrat memiliki “sejumlah wang”.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan mendedahkan, terdapat pencarum yang berpakat dengan syarikat perumahan dan ejen hartanah untuk menipu KWSP semata-mata bagi mendapatkan hak keatas wang simpanan mereka walaupun menyedari ia adalah tindakan yang salah.

Dengan menyasarkan pekerja sektor swasta berumur antara 30 hingga 50 tahun, beliau berkata, sindiket atau ejen berkenaan seolah-olah mempunyai data lengkap mereka yang terdesak sebelum menghampiri, berbincang seterusnya berpakat bagaimana untuk bertindak agar wang simpanan boleh dikeluarkan.

Berkongsi kisah mangsa sindiket pengeluaran wang caruman KWSP, Nadzim berkata, ada di antara pengadu mengakui mengalami gangguan mental dan emosi selepas berurusan dengan sindiket tersebut kerana mereka bukan sahaja menipu, malah turut ditipu setelah wang simpanan berjaya dikeluarkan.

“Mereka katakan ia sebagai tipu keliling atau tipu 1OO peratus iaitu sama-sama berpakat menipu KWSP dan selepas simpanan berjaya ditunaikan, mereka pula ditipu ejen sehingga tidak mendapat sesen pun daripada pengeluaran wang hasil keringat sendiri.

“Mereka akui pengeluaran bukan untuk tujuan membeli rumah atau hartanah seperti dinyatakan di dalam dokumen yang diserahkan kepada KWSP tetapi ia lebih kepada tekanan untuk memiliki wang segera, apatah lagi setelah termakan kata-kata manis sindiket bahawa wang itu milik mereka dan mereka berhak ke atasnya dalam apa cara sekalipun,” katanya disini.

Nadzim berkata, sejak tiga tahun lepas sehingga kini, PPIM telah menerima kurang daripada 10 aduan berkenaan kes seumpama itu. Beliau berkata, walaupun masih rendah, pakatan penipuan secara bersama antara pencarum dengan sindiket, ejen atau pihak berkepentingan lain perlu dibendung sebelum menjadi lebih parah kerana pencarum bukan sahaja perlu membayar wang perkhidmatan kepada pihak tersebut sehingga 10 ke 40 peratus daripada jumlah pengeluaran, tetapi lebih malang ada di antara mereka terpaksa “berendam air mata” apabila ditipu oleh pihak yang diberikan kepercayaan.

“Kita nasihatkan pencarum agar menghargai nilai wang yang disimpan hasil daripada titik peluh mereka dengan tidak mudah mempercayai sindiket atau ejen yang menawarkan pertolongan mengeluarkan wang caruman dan lebih utama, pencarum perlu sedar KWSP tidak pernah melantik pihak ketiga dan mengenakan sebarang bayaran dalam urusan pengeluaran wang simpanan tersebut” katanya.

Kes melibatkan pencarum yang menipu untuk mengeluarkan wang simpanan pekerja sehingga berani menggunakan sindiket tertentu bagi mengeluarkan wang simpanan mereka walau berdepan risiko tinggi termasuk caj sampingan ejen juga dipercayai terjadi akibat perancangan kewangan yang tidak efisien serta penggunaan kad kredit untuk melakukan pembelian tidak muStahak. Sementara itu, KWSP mengingatkan pencarum agar tidak terpedaya dan terpengaruh dengan muslihat sindiket yang mengambil kesempatan kemudahan pengeluaran Akaun 2 melalui iklan yang dikesan dilakukan secara aktif melalui media sosial, apatah lagi iklan perkhidmatan tersebut secara haram menggunakan logo KWSP untuk meyakinkan pencarum.-BERNAMA