Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
2897) TOL NAIK, TARAF HIDUP PUN NAIK
20 Oct 2015

BEBERAPA kumpulan pengguna menyuarakan kebimbangan berhubung kenaikan kadar tol yang dijangka menambah lagi tekanan dan bebanan terhadap kos sara hidup, yang semakin meningkat sejak tahun-tahun kebelakangan ini.
Berkuatkuasa Khamis lepas, kadar tol di beberapa lebuh raya dan jalan utama termasuk di Lembah Klang yang dikendalikan beberapa syarikat konsesi naik antara 10 sen dan RM6.
Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata peningkatan berterusan kos pengangkutan akan menyebabkan kos operasi perniagaan turut meningkat, dan secara langsung melonjakkan harga barangan dan perkhidmatan.
“Kerajaan tidak boleh menyalahkan peniaga dan penjaja jika menaikkan harga barangan kerana mereka tidak mempunyai pilihan apabila kos operasi meningkat.
“Tetapi, sebarang kenaikan harga ekoran daripada kenaikan kadar tol hendaklah munasabah dan tidak keterlaluan sehingga menyusahkan rakyat, yang sebagai pengguna telah pun dibebani dengan kos sara hidup semakin tinggi,” katanya kepada Bernama.

Pantau peniaga


Sebelum ini, Timbalan Presiden Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Melayu Malaysia (GPPKM), Datuk Mohamad Mahmood dilaporkan berkata persatuan peniaga membayangkan bahawa peningkatan harga barang tidak dapat dielakkan berikutan kenaikan kadar tol.
Mengulas lanjut, Mohd Yusof berkata, kerajaan hendaklah selalu memantau golongan peniaga dan harga pelbagai barangan.
Apabila Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dilaksanakan pada April lalu, kerajaan mengumumkan akan melaksanakan Akta Anti Pencatutan 2011 dengan lebih tegas ke atas para peniaga yang mengambil keuntungan berlebihan.
“Saya harap kerajaan akan mengemas kini undang-undang sedia ada dan menggunakannya terhadap peniaga ingkar yang menggunakan kenaikan tol sebagai alasan untuk mengenakan harga berlipat kali ganda.
“Sebelum ini pihak berkuasa tidak mempergiatkan aktiviti penguatkuasaan terhadap peniaga yang tidak bertanggungjawab menaikkan harga barangan apabila kadar tol atau harga minyak naik,” katanya.
Beliau mengakui bimbang jika para peniaga menggunakan lori sebagai kos pengangkutan akan tetapi nilai setiap satu unit barang dikenakan sehingga 50 sen, kerana hal berkenaan adalah tidak wajar memandangkan jarak perjalanan dan laluan adalah berbeza.

Perbaiki perkhidmatan


Mohd Yusof juga menggesa agar syarikat konsesi memperbaiki perkhidmatan sedia ada yang didapati kurang memuaskan selama ini.
“Sepatutnya kerajaan menyenaraikan apa yang perlu ditambah baik oleh syarikat-syarikat konsesi lebuh raya sebelum menaikkan kadar tol dan memastikan jalan raya tersebut selesa digunakan serta memenuhi syarat piawaian sewajarnya.
“Syarikat konsesi lebuh raya yang gagal memenuhi syarat atau Petunjuk Prestasi Utama (KPI) perlu dikenakan ‘penalti’ dan tidak boleh menaikkan kadar tol,” katanya.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) Datuk Nadzim Johan, yang bersetuju dengan Mohd Yusof menegaskan, syarikat konsesi bukan sahaja perlu memastikan lebuh raya sentiasa selamat untuk pengguna tetapi juga mengambil langkah-langkah perlu untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas.
“Memang keterlaluan jika pengguna terpaksa membayar kadar tol yang tinggi namun pada masa sama masih terperangkap dalam kesesakan lalu lintas semasa dalam perjalanan di lebuh raya, terutamanya semasa musim perayaan,” katanya.
Walaupun kerajaan mempunyai hak mutlak untuk menaikkan kadar tol, beliau berpendapat masa sekarang tidak kondusif untuk melaksanakannya, terutamanya setelah GST baru saja dilaksanakan enam bulan lalu, dan nilai Ringgit pula menyusut secara mendadak berbanding dolar AS.
“Bukan sahaja rakyat tetapi juga komuniti perniagaan terkejut dengan kenaikan tol yang agak tinggi ini,” kata beliau sambil menambah bahawa kerajaan sepatutnya mengadakan dialog dengan pengguna dan kumpulan-kumpulan perniagaan sebelum membuat keputusan mengenai perkara itu.
Beliau berkata kerajaan sepatutnya menangguhkan pelarasan baru tol itu ke suatu masa yang lebih sesuai pada masa depan untuk memberi rakyat “ruang bernafas” setelah melalui beberapa kenaikan itu.
Kementerian Kerja Raya dilaporkan berkata bahawa kerajaan telah menangguhkan kenaikan tol di lebuh raya sejak tahun 2008 untuk mengurangkan beban kewangan rakyat.
Selain itu, kerajaan juga membayar RM1,108.91 bilion sebagai pampasan kepada syarikat konsesi lebuh raya dari 2008 hingga 2013, manakala pada 2014 dibayar sebanyak RM402.99 juta.

Jalan alternatif


Sementara itu, bagi eksekutif pentadbiran Najwa Azhar, 28, yang bekerja di sektor swasta, kenaikan tol bermakna pertambahan perbelanjaan bagi para pekerja berulang-alik ke tempat kerja menggunakan lebuh raya bertol.
“Saya menggunakan LDP (Lebuhraya Damansara-Puchong) setiap hari untuk pergi ke pejabat. Tetapi saya bernasib baik kerana boleh membuat tuntutan tol daripada majikan bagi perjalanan-perjalanan itu. Pasti akan terasa kesannya bagi mereka yang tidak boleh membuat tuntutan,” katanya sambil mengakui kadar baru tol “agak mengejutkan” dan bahawa kebanyakan orang terpaksa menggunakan lebuh raya bertol kerana jalan alternatif biasanya sesak.
Selain LDP, Lebuh raya-lebuh raya lain yang terlibat adalah Kuala Lumpur-Karak (KLK), Lebuhraya Maju Expressway (MEX), Lebuhraya Kajang-SILK, Lebuhraya Duta-Ulu Klang (Duke), Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong (Smart), Lebuhraya KL-Kuala Selangor (Latar), Lebuhraya Sungai Besi (Besraya), Lebuhraya Baru Pantai (NPE), Lebuhraya Kajang Seremban (Lekas), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Lebuhraya Sprint dan Lebuhraya Cheras-Kajang (Grand Saga). – SINAR HARIAN