Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
TULISAN JAWI PADA PRODUK BUKAN ISLAM MENGELIRUKAN – UTUSAN MALAYSIA – 22/08/2019
22 Aug 2019

KUALA LUMPUR 22 Ogos – Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menyokong penuh gesaan melarang penggunaan tulisan Jawi pada bungkusan produk bukan Islam.

Ketua Aktivis PPIM, Nadzim Johan berkata, langkah itu perlu bagi mengelakkan pengguna keliru dengan syarikat bukan Islam yang menggunakan tulisan Jawi.

“Ramai rakan kita yang bukan Islam membantah pendidikan Jawi di peringkat sekolah atas alasan perkara itu merupakan langkah islamisasi.

“Kita setuju dengan pendapat mereka yang meletakkan tulisan Jawi sebagai identifikasi Islam jadi produk bukan Islam sepatutnya dilarang sama sekali daripada menggunakan tulisan Jawi pada bungkusan, iklan, papan tanda kedai, dan apa sahaja label perniagaan bukan Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Ujar Nadzim, masyarakat di negara ini terutamanya pengguna beragama Islam telah lama tertipu dengan teknik pengiklanan, pemasaran dan pembungkusan yang menggunakan lambangserta tulisan yang sinonim dengan Islam seperti tulisan Jawi, lambang masjid serta nama-nama Islam sebagai jenama produk.

“Sudah tiba masanya kita membezakan yang mana produk Islam dan mana produk bukan Islam agar pengguna boleh membuat pilihan yang lebih bijak,” jelasnya.

Nadzim turut berpendapat, syarikat bukan Islam rata-rata kurang memahami konsep halal dan toyyib.

“Mereka sewenang-wenangnya mendapatkan pensijilan halal oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kemudian melanggar syarat sah halal sehingga banyak kes sijil halal produk dan perkhidmatan mereka ditarik balik.

“Peniaga bukan Islam juga tidak membayar Zakat dan tidak menyumbang kepada masyarakat Islam walaupun memperolehi kekayaan daripada masyarakat Islam,” tambahnya.

Semalam, Dewan Pembangunan Perniagaan Usahawan Malaysia (MCED) dilaporkan menggesa kerajaan membawa akta khas ke Parlimen bagi melarang penggunaan tulisan Jawi pada pembungkusan produk bukan Islam.

Presiden MCED, Datuk Nazilah Idris dipetik berkata, tulisan Jawi yang disalah guna akan mengelirukan pengguna mengenai status halal sesuatu produk. – UTUSAN ONLINE

Artikel oleh: Utusan Malaysia

https://www.utusan.com.my/berita/wilayah/kl-putrajaya/tulisan-jawi-pada-produk-bukan-islam-mengelirukan-1.958318