Berikutan itu, Jaringan Mela­yu Malaysia (JMM) mengambil inisiatif menyampaikan Anugerah Khas Berani kepada agensi media arus perdana itu yang disifatkan sebagai berani membawa isu-isu yang kritikal demi kemas­lahatan masyarakat umum.

Presiden JMM, Datuk Azwanddin Hamzah berkata, media se­per­ti Utusan Malaysia wajar di­­­angkat dan diberikan penghormatan di atas usaha yang telah dilaksanakan.

Katanya, dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, akhbar tersebut banyak menyiarkan laporan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan isu-isu kritikal.

“Isu judi misalnya, selepas pendedahan dan laporan Utusan Malaysia, kita boleh lihat berlakunya perubahan, pusat judi berkurang dan polis mula mengambil tindakan.

“Utusan juga memainkan peranan dengan mendedahkan isu-isu rasuah oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). Usaha-usaha seperti ini harus diberikan pengiktirafan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Dalam majlis pelancaran portal My Aduan Rasuah JMM semalam, NGO itu telah memberi penghargaan terhadap usaha Utusan Malaysia melalui Anugerah Khas Berani yang disampaikan kepada Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak.

Yang turut hadir, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad; bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Abu Zahar Ujang dan Setiausaha Agung Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Dr. Ma’amor Osman.

Mengulas lanjut mengenai My Aduan Rasuah yang baru dilancarkan semalam oleh Dzulkif­li, Azwanddin berkata, portal itu merupakan platform kepada NGO dan masyarakat menyalurkan segala bentuk maklumat serta pandangan berkaitan ra­suah.

Katanya, dengan adanya portal itu, JMM percaya sedikit sebanyak mampu membantu me­lancarkan tugas SPRM.

“Selepas dilancarkan malam tadi, sambutan agak memberangsangkan apabila kami menerima lebih 30 maklumat dan komen positif daripada orang ramai,” katanya.