Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
Valet Doa: PPIM gesa Majlis Fatwa, Jakim wujudkan garis panduan – MalaysiaKini – 17/2/2017
17 Feb 2017

1

Majlis Fatwa Kebangsaan dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) perlu mewujudkan garis panduan mahu pun larangan bagi mengelak mana-mana individu di negara ini menjadi ‘penjual agama’.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata ini kerana isu agama kini sudah menjadi terlalu komersial sehingga menimbulkan kekeliruan kepada orang ramai.

“Majlis Fatwa dan Jakim kena mainkan peranan di mana mereka perlu ada garis panduan yang jelas kerana perkara ini sudah menjadi komersial, sebelum ini tak jadi komersial begitu.

“Jadi, kita kena ada larangan dan garis panduan yang jelas bagi pengguna kerana orang ramai ini mudah sangat percaya,” kata Nadzim kepada Malaysiakini.

Nadzim berkata demikian ketika ditanya sejauh mana kerajaan perlu mengambil tindakan berhubung perkhidmatan Valet Doa yang tular kerana menyediakan perkhidmatan kiriman doa untuk dibacakan di Tanah Suci.

Mengulas lanjut Nadzim berkata ‘penjual agama’ itu juga harus dikenakan tindakan yang bersesuaian dengan kesalahan mereka.

“Tindakan yang sesuai, patut dan perlu kerana kita takut nanti ada pula pihak yang mendoakan kematian orang lain pula, itu lagi tak kena,” tambah Nadzim.

Mufti Pahang Datuk Abdul Rahman Osman semalam menasihati umat Islam tidak menggunakan ‘penjual agama’ untuk membantu membacakan doa, khususnya di Mekah.

Bagaimanapun, menurut penjelasan pemilik akaun terbabit, Nasrin Harin, atau lebih dikebali sebagai Haji Arin, perkhidmatan itu diwujudkan untuk memudahkan mereka yang tidak berkemampuan ke Mekah dan berdoa di sana.

Sementara itu, Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr Zulkifli Mohamad semalam menggesa pihak tersebut segera menghentikannya kerana tidak menepati Islam yang sebenar.

Jelasnya, tiada dalam sejarah dan juga adab di kalangan para sahabat berbuat demikian.

Katanya, Ketika Rasullulah ingin mengirim doa kepada Saidna Umar, beliau tidak mengenakan sebarang syarat kewangan, upah atau bayaran.

Berdasarkan status di akaun Facebook, perkhidmatan itu boleh didapati dengan harga sekitar RM250 sehingga RM5,000, mengikut pakej-pakej yang telah ditawarkan.

Antara pakej tersebut adalah pakej King Salman dan pakej VVIP malah, pengirim boleh memilih mana-mana tempat di Tanah Suci untuk doa mereka dibacakan.

Kelmarin, Hasrin dilaporkan berkata tetap mahu meneruskan perkhidmatannya walaupun berdepan kecaman orang ramai dan teguran alim ulama.

Mengulas pandangan Zulkifli, Hasrin berkata mufti itu tidak menyebut dengan jelas sama ada perkara itu haram di sisi Islam.