Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
1091) BERITA HARIAN 8/1/2013 RESOLUSI TIADA KAITAN KALIMAH SUCI
09 Jan 2014

Headline: Resolusi tiada kaitan kalimah suci
Publication: BH
Date of publication: Jan 8, 2014
Section heading: Main Section
Page number: 009
Kuala Lumpur: Sepuluh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam
mendakwa resolusi 10 perkara yang menjadi sandaran Majlis Konsultasi Perpaduan
Negara (MKPN) dalam mengkritik Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tiada kena
mengena dengan isu kalimah Allah.
Sebaliknya, resolusi itu berkaitan dengan soal kemasukan dan
pengimportan Bible versi bahasa Melayu ke negara ini.
Wakil NGO, Datuk Zulkifli Noordin, berkata Kerajaan
Persekutuan berhak memberi kelonggaran atau syarat kepada mana-mana pihak yang
mahu membawa masuk atau mengimport apa juga barangan dari luar.
Katanya, membawa masuk atau mengimport mana-mana penerbitan
yang mengandungi perkataan atau kalimah yang dilarang adalah ‘prima facie’ yang
boleh diambil tindakan termasuk merampas bahan penerbitan itu dan dikenakan
pertuduhan di mana-mana mahkamah jenayah sivil.
“Resolusi 10 perkara itu hanya dasar kerajaan yang
tidak boleh melanggar, bercanggah atau bertentangan dengan mana-mana
undang-undang negara.
“Jika ia bercanggah atau bertentangan, ia tidak
terpakai dan tidak boleh dikuatkuasakan,” katanya pada sidang media di
sini, semalam.
NGO Islam itu merangkumi Pertubuhan Muafakat Sejahtera
Masyarakat Malaysia (MUAFAKAT), Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA),
Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM),
Jalur Tiga (JATI), Peguam Pembela Islam (PPI), Institut Pemikiran Tradisional
Islam (IPTI), Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) dan Pertubuhan Ahli Sunnah Wal
Jamaah (ASWAJA).
Kelmarin, MKPN mengkritik JAIS dengan alasan tindakan pihak
berkuasa agama itu bercanggah dengan resolusi 10 perkara yang dikeluarkan
Kerajaan Persekutuan dan dipersetujui pihak Kristian.
Sambil menyifatkan tindakan MKPN mengkritik JAIS sebagai
tergesa-gesa dan gopoh dalam menangani isu penggunaan kalimah Allah, Zulkifli
berkata, ketiadaan JAIS dalam mesyuarat MKPN untuk memperjelaskan tindakan
mereka itu dilihat sebagai pencabulan hak asasi dan pelanggaran prinsip
keadilan sejagat yang tidak sepatutnya berlaku.
Tindakan selaras undang-undang
Katanya, tindakan JAIS itu selaras dengan peruntukan
undang-undang jenayah iaitu Seksyen 9 Enakmen Pengawalan Pengembangan Agama
Bukan Islam 1988 yang berkuatkuasa di Selangor yang secara jelas melarang
penggunaan beberapa kalimah, termasuk kalimah Allah.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan perlu menambahbaik
keanggotaan MKPN dengan memastikan sekurang-kurangnya tiga tokoh agama bertaraf
ulama dilantik dalam majlis berkenaan bagi memastikan Islam diwakili mereka
yang pakar dan layak.
Sementara itu, Presiden Persatuan Bible Malaysia (PBM), Lee
Min Choon, berkata tindakan undang-undang yang akan diambil bergantung kepada
keputusan pihak berkuasa dalam menangani kes serbuan dan rampasan Bible di
pejabat persatuan itu, baru-baru ini.
Beliau berkata sebagai pengedar tunggal kitab itu di
kalangan penganut Kristian, pihaknya tidak pernah menyebar agama itu kepada
umat Islam dan rampasan kitab itu disifatkan sebagai tidak menghormati resolusi
penyelesaian yang dicapai bersama kumpulan Kristian pada April 2011.

Tegasnya, tindakan JAIS jelas melanggar kandungan resolusi
yang antaranya mengizinkan pengimportan kitab dalam semua bahasa, termasuk
terjemahan bahasa Malaysia dan Indonesia.