Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
770) BERITA UTUSAN MALAYSIA 12 JUN 2013: Perkenal satu sistem persekolahan
12 Jun 2013

KUALA LUMPUR 11 Jun – Kerajaan didesak melaksanakan
hanya satu sistem persekolahan bagi mewujudkan keharmonian terutama di kalangan
generasi muda dan menangani ketegangan yang mulai dirasai dalam kalangan
masyarakat majmuk di negara ini.
Sehubungan itu, sebanyak 130 gabungan pertubuhan
bukan kerajaan (NGO) Melayu dan Islam mahu kerajaan mengkaji sistem
persekolahan tanpa lagi bersandarkan bahasa ibunda.
Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia
(PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, kajian pihaknya dengan beberapa tokoh
masyarakat Cina dan India mendapati kewujudan sekolah aliran menjadi penghalang
kepada usaha menyatupadukan rakyat berbilang kaum di negara ini sejak merdeka.
Menurutnya, kewujudan sebanyak 61 sekolah
vernakular swasta dan 78 sekolah jenis kebangsaan ketika ini menjadi antara
punca rakyat berbilang kaum gagal mengenali dan menghormati antara satu sama
lain sehingga wujudnya jurang serta prasangka antara mereka.
“Apa yang berlaku di sesetengah sekolah
vernakular swasta, pelajar bukan sahaja mengikuti pembelajaran dalam bahasa
ibunda mereka, malah diajar mengenai sejarah negara luar.
“Ini menyalahi peruntukan Perlembagaan kerana
mereka sepatutnya diajar mengenai sejarah Malaysia,” katanya dalam sidang
akhbar berhubung isu kedudukan dan status sekolah vernakular di sini hari ini.
Turut hadir sama bekas Naib Pengerusi DAP, Tunku
Abdul Aziz Tunku Ibrahim.
Dalam masa sama, Nadzim mencadangkan sekolah
vernakular swasta diwajibkan mengguna sukatan mata pelajaran yang mempunyai
matlamat dan aspirasi nasional serta berpandu kepada Perlembagaan Persekutuan.
“Kita tidak berniat menghapuskan terus bahasa
ibunda kerana sedar kepentingannya dalam industri. Bahasa ibunda itu boleh
dijadikan sebagai salah satu subjek wajib dalam silibus sekolah,” katanya.
Sementara itu, Presiden Kelab Wartawan Muda
Malaysia, Dzulkarnain Taib berkata, isu sekolah vernakular merupakan polemik
yang boleh memecah-belahkan masyarakat dan menggugat keharmonian kaum jika
tidak diselesaikan segera.
Sehubungan itu, tambah beliau, pihaknya berharap
kerajaan berhenti melayan sebarang tuntutan pihak tertentu yang jelas memperjuang
kepentingan sesetengah kaum semata-mata.
“Desakan itu termasuk permohonan menambah
jumlah sekolah vernakular, isu pengiktirafan Peperiksaan Gabungan Sekolah
Menengah Cina (UEC) serta pengukuhan pengajaran mata pelajaran Bahasa Mandarin
di sekolah-sekolah vernakular sedia ada,” katanya.
Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130612/dn_05/Perkenal-satu-sistem-persekolahan#ixzz2Vym91fDt

© Utusan Melayu (M) Bhd