Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
820) BERITA HARIAN 11/7/13-Hak orang Melayu dinafi sejak zaman penjajah
12 Jul 2013

Oleh Haspaizi Mohd Zain
Barangkali masih
ramai orang Melayu tidak mengetahui atau sengaja tidak mahu mengetahui mengenai
kewujudan buku himpunan esei berjudul Contesting Malayness terbitan sebuah
universiti Singapura yang menjurus kepada pandangan bahawa bangsa Melayu tidak
pernah wujud di muka bumi ini.
Dakwaan seperti itu
tentunya pelik bagi kita yang sudah sebati dengan kisah Kesultanan Melayu dan
kehebatan hulubalang Melayu seperti Laksamana Hang Tuah dan Hang Jebat.
Malah, Sejarah
Kesultanan Melayu Melaka sudah membuktikan bahawa Selat Melaka pernah menjadi
pusat dagangan dunia yang terkemuka. Namun, penjajah yang menakluki Melaka
bukan saja meruntuhkan empayar gemilang itu, tetapi turut memusnahkan sejarah
kegemilangan Melayu.
Bukan soal itu yang
ingin diperdebatkan, sebaliknya penulis mahu mencari jawapan terhadap motif
penghasilan buku itu yang bagaikan cuba menafikan hak orang Melayu di bumi bertuah
ini.
Apa lagi yang
Singapura mahu daripada Melayu? Mungkin ayat ini terlalu kasar, namun adakah
kita terfikir apakah motif universiti negara jiran itu menerbitkan buku yang
cuba menafikan kewujudan Melayu.
Cukuplah bangsa
Melayu diperlekeh dan dipersendakan. Khabarnya, di pintu masuk Muzium
Singapura, dinyatakan bahawa Melayu sebagai bangsa lanun dan pencuri. Melayu
bukan lanun ataupun pencuri, Melayu juga bukan pemalas, Melayu ada tamadunnya
yang penuh dengan kegemilangan.
Dalam konteks
Malaysia, Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) Barisan Nasional (BN) berjaya
membentuk kerajaan dengan majoriti mudah yang mana sokongan pengundi Cina
didominasi sepenuhnya DAP. Malah, keputusan itu menyebabkan PRU-13 dinamakan sebagai
‘Tsunami Cina’.
Malah, kini beberapa
perkara yang sememangnya termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan mula dicabar
oleh pihak tertentu, bukan itu saja, ada juga yang menuntut hak sama rata untuk
semua kaum di negara ini ketika Bumiputera masih jauh ketinggalan.
Senario politik
negara hari ini menyaksikan semakin ramai bukan Bumiputera mula bersuara
menuntut hak sama rata dengan Bumiputera, kononnya hak mereka dinafikan,
benarkah hak bukan Bumiputera di negara ini dinafikan? Siapa menjuarai ekonomi
Malaysia?
Sebenarnya, bangsa
Melayu sudah lama dinafikan hak mereka di bumi sendiri. Malah bagi Pengkaji dan
Penyelidik Sejarah, Dr Zaharah Sulaiman, Melayu adalah satu bangsa yang hebat
dan mampu berdiri sama tinggi dengan kaum lain di negara ini jika hak mereka
tidak dinafikan dari awal lagi.
Melayu bangsa hebat
Bagi Zaharah, Melayu
adalah bangsa yang hebat dan kehebatan Melayu itu dicemburui oleh bangsa lain
di dunia ini. Sebab itulah apabila penjajah menguasai Tanah Melayu, mereka
bukan saja menafikan hak bangsa itu tetapi turut memusnahkan kegemilangan
Melayu.
“Hak bangsa
Melayu di negara ini sudah dinafikan sejak zaman penjajahan British lagi, orang
Melayu tidak diberikan peluang untuk mendapat pendidikan tinggi seperti bangsa
lain, orang Melayu ditempatkan di kawasan pedalaman dan hanya menjalankan
kegiatan pertanian.
“Sedangkan
bangsa lain yang dibawa masuk ke tanah Melayu bukan saja dianggap sebagai
rakyat British, malah mendapat pelbagai keistimewaan berbanding bangsa Melayu.
Kumpulan ini ditempatkan di kawasan bandar, menguasai sektor perlombongan dan
perniagaan.
“Melayu
bukannya tidak hebat, Melayu bukannya bangsa pemalas, tetapi hak Melayu di
buminya sendiri sudah dinafikan sejak zaman berzaman. Jika ada pihak bukan
Melayu berkata hak mereka dinafikan, sebenarnya hak Melayu yang
dinafikan,” ujarnya.
Jika hak bangsa
Melayu tidak dinafikan sejak dari dulu lagi, hari ini mungkin sudah ramai orang
Melayu muncul sebagai ahli perniagaan berjaya dan mungkin juga jurang ekonomi
antara bangsa Melayu dan bangsa lain tidaklah begitu ketara sekali.
Ketika mana bukan
Bumiputera mendakwa hak mereka dinafikan di bumi Malaysia ini, ketika itu
jugalah bangsa Melayu sedang merangkak dan terkial-kial berusaha untuk
merapatkan jurang ekonomi mereka.
Jika bukan Melayu
mendakwa mereka terpinggir, persoalannya siapa yang menguasai ekonomi negara,
siapa yang mendominasi penempatan di bandar-bandar utama di negara ini? Hanya
segelintir Melayu mampu berbangga kerana berjaya membeli aset di kawasan
bandar.
Kenapa bangsa lain
cukup cemburu dengan Melayu sehinggakan mereka sanggup memusnahkan sejarah
kegemilangan Melayu? Kenapa juga bangsa Melayu hari ini terutama golongan muda
masih ‘tidur’ dan leka dengan permainan dunia sedangkan bangsanya sedang
diserang di segenap pelosok?
Apakah orang Melayu
mahu sejarahnya ditentukan oleh bangsa lain? Cukuplah sudah Istana Raja Melayu
yang gemilang pada suatu masa dulu kini dijadikan muzium oleh pihak tertentu,
Melayu perlu sedar bahawa ada pihak sedang menunggu untuk menjadikannya artifak
dan dipamerkan di muzium.
Melayu terpaksa
mengambil masa yang begitu lama berjuang untuk memperjuangkan haknya, namun
bangsa lain boleh menuntut sesuatu daripada orang Melayu hanya dalam tempoh
‘satu malam’ dan tidak perlu melakar sejarah perjuangan yang lama.
Lihat saja apa yang
berlaku di Perak ketika pakatan pembangkang mentadbir negeri itu. Atas desakan
pihak tertentu, kerajaan negeri Perak ketika itu memberikan hak pemilikan tanah
selama 999 tahun kepada bukan Melayu.
Hari ini, Melayu
juga dilabelkan oleh bangsa yang cukup sinonim dengan rasuah. UMNO yang menjadi
tunjang kepada pentadbiran kerajaan di negara ini dilabelkan sebagai sebuah
parti korup oleh pihak tertentu.
Tetapi sejarah sudah
membuktikan bangsa Melayu masih ketinggalan dan bangsa Melayu belum lagi senang
seperti bangsa lain. Cuba kita buat penilaian bangsa mana yang sudah lama kaya
di negara ini dan bangsa mana mengajar Melayu erti rasuah, tepuk dada tanyalah
hati.
Segala yang buruk
dilabelkan kepada bangsa Melayu, sedangkan Melayu belum ramai kaya-raya, belum
lagi menguasai sektor perniagaan dan tidak ramai mampu memiliki aset jutaan
ringgit di ibu kota, siapa sebenarnya yang menguasai sektor komersial dan siapa
sebenarnya paling ramai rasuah, Melayu atau bukan Melayu?
Melayu kena bangkit
Sejarawan Barat
sepakat dan mengiktiraf bangsa Melayu sebagai pakar dalam bidang maritim yang
mana sejarah membuktikan bahawa bangsa ini sudah memiliki kapal yang besar pada
zaman kegemilangannya mengalahkan kapal milik Portugis dan kapal tersebut dikenali
sebagai ‘Mendam Berahi’.
Namun, itu semua
sudah tinggal sejarah, hari ini bukan saja sejarah Melayu sedang
diperkotak-katikkan dan diubah bangsa lain, malah bangsa Melayu sendiri sudah
berpecah kepada beberapa mazhab kerana berimankan pemimpin politik yang
berlainan ideologi. Inilah yang melemahkan Melayu.
Bangkitlah Melayu,
bangsamu bukannya bangsa lemah dan pemalas tetapi bangsamu adalah bangsa yang
hebat dan pernah mencipta kegemilangan. Marilah kita cipta kembali kegemilangan
Melayu pada abad baru ini.

Dakwaan bangsa
Melayu tidak pernah wujud hanyalah ‘ketakutan’ bangsa tertentu terhadap
kehebatan bangsa Melayu, Melayu tersebar hampir ke seluruh dunia, Melayu ada di
mana saja termasuk di Zanzibar dan Madagascar.