Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
980) Berita Harian 8/11/13-Pembabitan awam dalam kajian semula tambang teksi
12 Nov 2013

Pelancaran Program Interaksi Bersama Pengguna dan
Industri Teksi – Kajian Kadar Tambang Teksi oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam
Darat (SPAD) pada 18 Oktober lalu dilihat berupaya membawa perubahan lebih
positif dalam industri teksi di Malaysia berdasarkan pendekatan pembabitan
pihak awam dan pihak berkepentingan secara holistik yang diambil organisasi
itu.
Sebelum SPAD ditubuhkan, kajian kali terakhir kadar
tambang teksi pada 2009 hanya terhad pada peringkat pihak berkuasa dan industri
teksi saja.
Usaha julung kali dilaksanakan SPAD ini cuba
mengetengahkan pendekatan berlainan dengan matlamat memastikan kadar bagi
tambang teksi akan memberi kepuasan dan pulangan bermanfaat kepada semua pihak.
Pembabitan pengguna
Pada hari pelancaran oleh Pengerusi SPAD, Tan Sri
Syed Hamid Syed Jaafar Albar itu, tiga perbincangan fokus diadakan bersama
kumpulan mewakili pengguna, syarikat operator teksi dan pemandu teksi dari
seluruh Lembah Klang.
Sejak itu, perbincangan bersama pihak awam dan
pihak berkepentingan lain telahpun diadakan di Pulau Pinang dan Johor Bahru.
Sesi taklimat pula telah diadakan di Melaka dan Ipoh.
Antara yang tampil menyertai perbincangan berkenaan
termasuk wakil Gabungan Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA); Persatuan Pengguna
Islam Malaysia (PPIM); Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP); Majlis Kebangsaan
Bagi OKU (MKBOKU); Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB); Koperasi OKU Pulau
Pinang Berhad; Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA);
Pusat Penyelidikan Pengangkutan Bandar Mapan Universiti Kebangsaan Malaysia
(SUTRA UKM) dan Institut Pengangkutan Malaysia Universiti Teknologi MARA
(MITRANS UiTM).
Penambahbaikan mutu perkhidmatan
Ternyata hasil perbincangan membawa kepada
persetujuan bahawa pelaksanaan kajian semula kadar tambang teksi adalah tepat
pada masanya dengan kos operasi sedia ada yang semakin tinggi dan terdapat
keperluan untuk menampung penambahbaikan sistem pada masa hadapan.
Antara inisiatif bagi membangunkan sistem teksi
kelas dunia di Malaysia termasuk khidmat bermutu melalui teknologi. Penggunaan
sistem navigasi, penempahan atas talian dan bayaran bukan tunai adalah antara
contoh penambahbaikan dalam Pelan Transformasi Industri Teksi SPAD.
Kajian semula kadar tambang teksi juga dilihat
sebagai peluang bagi industri teksi mula menangani isu-isu meningkatkan mutu
keseluruhan perkhidmatan yang ditawarkan. Kadar tidak boleh terlalu tinggi
sehingga membebankan pengguna atau terlalu rendah sehingga mengehadkan
pertumbuhan industri teksi.
SPAD telah meletakkan dua kriteria bagi kadar
tambang teksi negara ini. Pertama, tambang yang dikenakan perlulah bersesuaian
dengan kos sebenar operasi yang ditanggung dalam menawarkan perkhidmatan
terbaik bagi pengguna. Kos operasi ini termasuk kos bahan api bagi petrol dan
gas asli mampat (CNG), kos kenderaan, kos buruh dan lain-lain.
Prinsip operasi lebih praktikal
Kedua, kadar tambang itu seharusnya mampu memberi
motivasi kepada prinsip operasi di kalangan pengusaha dan pemandu teksi yang
lebih praktikal dan rasional. Dalam erti kata mudah, ia antaranya menjadikan
pemandu tidak ‘berkira’ untuk berkhidmat ketika waktu puncak dan sentiasa
menggunakan meter tanpa alasan.
Proses interaksi SPAD akan dilakukan dalam tiga
peringkat iaitu mendengar, menambah baik dan memaklumkan. Bagi peringkat
mendengar, program interaksi ini akan diteruskan dengan satu lagi perbincangan
kumpulan fokus di Kuala Terengganu dan sesi taklimat di sekitar Semenanjung
meliputi Alor Setar (Kedah), Langkawi (Kedah), Kota Bharu (Kelantan), Kuantan
(Pahang) dan Temerloh (Pahang).
Sementara itu, galeri paparan awam ditempatkan di
35 lokasi termasuk di pejabat cawangan SPAD, terminal pengangkutan awam dan
kompleks beli-belah yang membolehkan orang ramai memperoleh maklumat mengenai
kaedah dan proses kajian teksi serta mengemukakan maklum balas mereka
berkaitannya.
Kertas Interaksi Kajian Tambang Teksi boleh dimuat
turun di www.spad.gov.my/tfr2013. Selain melalui laman sesawang SPAD, maklum
balas juga boleh disalurkan menerusi pos, menghubungi talian 1-800-22-7723 atau
melayari laman sosial Facebook atau Twitter SPAD.
Setelah mendapat maklum balas dari pihak awam dan
pihak berkepentingan, peringkat penambahbaikan program interaksi SPAD ini pula
akan memperhalusi cadangan penyelesaian untuk dipertimbangkan dalam kajian
kadar tambang teksi. Sebagai susulan, perjumpaan satu dengan satu dan
perbincangan kumpulan kecil pula akan dibuat.
Pelaksanaan hapus pandangan negatif
“Sebagai pemandu, sudah tentu saya menyokong
kajian kadar tambang teksi dilakukan memandangkan harga minyak, tayar, alat
ganti dan sebagainya sudah lama naik. Namun SPAD perlulah memberi tumpuan
kepada kenaikan yang berpatutan dan tidak menakutkan pengguna,” demikan
kata wakil Persatuan Pemandu Kereta Sewa Shah Alam, Yazid Mohamad Yusof
mengenai kajian kadar tambang teksi yang sedang dilaksanakan Suruhanjaya
Pengangkutan Awam Darat (SPAD) ketika ini.
Beliau menyifatkan tindakan SPAD mengambil kira
pandangan orang ramai sebagai wajar kerana dapat juga menyelesaikan sebarang
isu negatif membabitkan perkhidmatan teksi.
Ubah persepsi
Yazid tidak menafikan kewujudan masalah di kalangan
pemandu teksi sendiri, khususnya mereka yang memonopoli kawasan, tidak
berdisiplin dan tidak berhemah. Disebabkan ini, beliau berharap kursus dapat
dianjurkan untuk setiap pemandu supaya mereka faham tugas sebagai pemandu teksi
serta mengikut undang-undang.
Wakil Persatuan Pemandu Teksi KL Sentral,
Shamsuddin Jamaluddin, pula berpendapat bahawa pendekatan yang diambil SPAD
sebelum mengkaji semula kadar tambang teksi adalah telus kerana membabitkan
pemandu, persatuan, operator dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Bagi menambah baik perkhidmatan teksi sedia ada,
beliau juga mencadangkan had kawasan operasi diperluas dan tidak lagi terhad
kepada lokasi-lokasi yang tertentu saja.