Logo
PERSATUAN PENGGUNA ISLAM MALAYSIA
70X, Jalan Keramat Hujung, 54000 Kuala Lumpur
Email : salam@ppim.org.my
Hotline : +6019-359 1000
Tel : +603-4257 7222 / +603-4256 6618
IKUTI KAMI DI :
989) UTUSAN MALAYSIA 14/11/13-Merana kerana hutang
15 Nov 2013

MENURUT Kamus Bahasa Melayu Dewan Bahasa dan
Pustaka (DBP), ah long bermaksud orang yang memberikan pinjaman wang secara
haram dan mengenakan kadar faedah sangat tinggi serta biasanya bertindak ganas
sekiranya si peminjam gagal membayar pinjaman yang telah dibuat.
Berasal daripada perkataan bahasa Kantonis yang
membawa maksud naga lalu disinonimkan sebagai ceti haram di negara ini.
Kegiatan ah long di negara ini bukan sahaja memberi
ancaman kepada peminjam tetapi turut terkena tempias bahananya ialah
keselamatan ahli keluarga mangsa, sekali gus mengugat keamanan negara.
Hal demikian dibuktikan menerusi liputan berita
yang berkaitan isu ah long di mana terdapat peminjam dibunuh secara kejam,
didera, dimalukan dan sebagainya walaupun mangsa hampir berjaya melunaskan
hutang.
Meskipun masyarakat telah acap kali dipasakkan
dengan bahaya jebakan ah long ini, sayangnya ia bagai tidak mampu menyedarkan
masyarakat kita, terutamanya dalam kalangan orang Melayu.
Tambah menyedihkan apabila umat Islam negara ini
turut meminjam dengan ah long. Sedangkan ceti haram itu menjalankan urus niaga
bertentangan dengan syariat Islam selain mempunyai unsur penindasan.
Statistik ini amat membimbangkan pelbagai pihak
termasuk Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) kerana pihaknya menerima
aduan di antara 70 hingga 80 kes pada setiap bulan.
Sehubungan itu, Mega Utusan Malaysia mendedahkan
beberapa kisah peminjam ah long dalam mengetahui apakah punca mereka berbuat
demikian selain diajukan soalan kepada pihak bertanggungjawab berkaitan
permasalahan berkenaan.
PEMINJAM ah long bukan sahaja terdiri daripada
golongan kurang kemampuan, tetapi juga melibatkan ahli perniagaan, profesional,
para pelajar dan sebagainya yang akhirnya meranapkan kehidupan mereka sendiri.
Demikian juga kisah yang berlaku kepada seorang
pengusaha stesen minyak, Asyraf, 44, (bukan nama sebenar) apabila dia meminjam
wang daripada ah long sebanyak RM50,000.
Tindakan itu gara-gara karenah birokrasi sebuah
institusi kewangan yang lambat menjalankan proses permohonan pinjamannya bagi
tujuan mengembangkan perniagaan.
Sebenarnya, sebelum meminjam daripada ah long,
Asyraf sedar akan bahaya berurusan dengan si ceti haram tetapi dek kerana
kepentingan bisnes serta berjanji pada dirinya sendiri bahawa dia akan
melangsaikan hutang berkenaan, apatah lagi berkeyakinan bahawa proses pinjaman
dengan bank yang dibuat dijangka selesai dalam tempoh dua bulan sahaja.
Tetapi janji tinggal janji, permohonan Asyraf
daripada sebuah institusi kewangan masih gagal menemui jalan penghujungnya dan
pada masa sama, kadar bunga pinjaman ah long meningkat saban hari.
Akhirnya daripada RM50,000, pinjamannya kini
berjumlah RM7 juta walaupun Asyraf setiap bulan membayar dengan kadar ansuran
ditetapkan. Namun along tetap mengugut lelaki itu supaya membayar hutang
berkenaan walau apa cara sekalipun.
SEPERTI dinyatakan, hampir antara 70 dan 80 kes
membabitkan ah long dilaporkan kepada Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM).
Majoritinya terdiri daripada orang Islam pelbagai lapisan masyarakat.
Data itu menunjukkan bahawa umat Islam negara ini
mudah terjerumus dengan tipu helah ah long, sekali gus mengambarkan kita mudah
terpedaya dengan kelicikan itu.
Memang tidak dinafikan lontaran kata-kata manis ah
long yang berjanji akan menolong peminjam tetapi akhirnya mereka akan
terjerumus dengan kehidupan tidak aman.
Menurut Ketua Biro Pengurusan Mangsa Ceti Haram
PPIM, Muhammad Yusuf Azmi dengan slogan kami bukan ah long tetapi mahu tolong
sebenarnya satu penipuan yang memerangkap para peminjam menerusi pelbagai tipu
helah termasuk mengenakan nilai bunga pinjaman sebanyak 10 peratus sehari.
Kata Muhammad Yusuf , jumlah bunga pinjaman yang
tidak masuk akal oleh ah long sewajarnya dibanteras oleh semua masyarakat
khususnya umat Islam dengan pelbagai usaha.
Antaranya ujar beliau adalah melaporkan kepada
polis jika along mengancam penghuni sebelah rumah dan sebagainya dalam usaha
membanteras ceti haram itu.
“Masyarakat tidak
perlu takut dengan ah long. Mereka tidak berani berbuat apa-apa jika
kita bersatu menangani mereka. Modal mereka cuma mengugut sahaja, tetapi jika
masyarakat berani, ah long pun takut.
“Masalahnya, along
berleluasa kerana masyarakat takut, ini sahaja masalah kita. Laporkan kepada
polis segera dan Malaysia ada undang-undang, ugutan, ancaman bunuh,
pencerobohan kediaman boleh didakwa di mahkamah selain dihumbat ke penjara,” kata Muhammad Yusuf .
Selain itu, beliau menggesa bekas mangsa ah long
untuk turun padang bersama PPIM dalam memberi penerangan kepada masyarakat
berkenaan bahayanya tindakaan meminjam wang kepada along selain bersama-sama
NGO itu untuk membanteras ah long.
“Kita jangan
pandang buruk kepada peminjam ah long. Sebenarnya kita pun sama seperti mereka
kerana mempunyai masalah kewangan. Tetapi yang bezanya nasib kita tidak seperti
mereka. Bantu mereka dengan apa-apa cara sekalipun.
“Lagi satu adalah
iklan ah long di tiang lampu, telefon awam, dinding dan sebagainya.
Cabut dan buang sahaja iklan-iklan tersebut kerana tindakan menampal itu
merupakan satu kesalahan dan tugas kita menegakkan undang-undang itu,” ujar beliau.
Taktik baharu
Muhammad Yusuf yang sudah dua tahun giat
membanteras ah long di bawah PPIM berkata, ah long kini cuba memperkenalkan
pelbagai taktik dalam usaha membuang imej negatif terhadap mereka selama ini.
Menurut beliau, antaranya adalah berselindung atas
nama pinjaman wang berlesen tetapi modus operandi sama dengan kegiatan ah long
termasuklah para pengeraknya yang turut terdiri daripada kalangan mereka.
Selain itu, taktik lain adalah menawarkan pinjaman
kepada orang ramai sedangkan mereka tidak memerlukan wang berkenaan.
“Mereka mengenali
kita disebabkan wujud rangkaian data yang diberikan oleh bekas peminjam ah long
iaitu nombor telefon saudara-mara dan rakan-taulan terdekat.
“Lalu ah long
menghubungi nombor telefon itu dan menawarkan pinjaman itu. Memanglah pada
mulanya bagi kata-kata manis, tetapi akhirnya selepas kita dapat duit
barulah ah long mengganas,” ujar Muhammad
Yusuf.
KISAH yang menyayat hati ini berlaku kepada seorang
ibu tunggal beranak empat. Fatimah, 37, (bukan nama sebenar) menyara
kehidupannya dengan menjual nasi lemak. Namun demikian pendapatannya yang tidak
menentu itu tidak mampu menyara mereka lima beranak.
Demi meneruskan kelangsungan hidup, Fatimah
terpaksa berusaha, apatah lagi , dia tidak sanggup melihat anak-anaknya
menangis kelaparan.
Di saat terdesak itulah, dia bagai hilang
pertimbangan lalu timbul satu idea untuk membuat pinjaman wang daripada ah long
sebanyak RM300 dengan harapan beliau mampu membayarnya kerana jumlah yang
sedikit.
Tindakan Fatimah rupa-rupanya telah menjerat
dirinya. Sudahlah susah, kini kehidupannya anak-beranak semakin terbeban
setelah selang beberapa hari membuat pinjaman.
Ah long datang menemuinya untuk menuntut hutang.
Dek kerana kesempitan yang tidak berpenghujung, Fatimah menagih simpati minta
ditangguhkan.
Begitulah yang dapat dibuat oleh ibu muda ini,
merayu dan terus merayu.
Untuk seketika, dengan kelicikan ah long yang
dikenali sebagai Mr. Y, lelaki itu mencadangkan kepada Fatimah supaya meminjam
pula daripada seorang lagi ceti haram. Usaha itu tidak mendatangkan hasil
apabila situasi berkenaan berlaku sekali lagi dan berterusan sehingga ah long
ketujuh. Keadaan Fatimah umpama keluar mulut harimau, masuk pula ke mulut
buaya.
Bayangkan dengan hanya meminjam sekadar RM300,
selang beberapa minggu jumlah pinjaman Fatimah telah menginjak sebanyak
RM3,000.
Semenjak itu kehidupan Fatimah semakin tertekan
kerana tidak tahan dengan tindakan ganas ah long yang tidak cukup dengan mengugut
sahaja tetapi turut mengancam nyawa ibu tunggal tersebut serta keluarganya.
Natijah daripada tekanan demi tekanan tersebut
telah menyebabkan Fatimah mengalami gangguan mental.
MALEK, 22, (bukan nama sebenar) merupakan seseorang
siswazah lepasan sebuah insitusi pengajian tinggi awam berhasrat membuka sebuah
syarikat konsultan motivasi.
Tetapi hasrat murni Malek itu mempunyai masalah
apabila beberapa permohonannya kepada institusi kewangan ditolak. Dia hampir
putus asa untuk meneruskan usahanya tersebut.
Demi cita-citanya itu, Malek kemudian meminjam
daripada ah long sebanyak RM60,000 dan berharap pinjamannya tersebut berupaya
dilunaskan dalam masa singkat.
Memang tidak dinafikan perniagaanya berjaya, Tetapi
hasil keuntungannya terpaksa disalurkan untuk membayar hutang kepada along.
Seperti kebiasaanya berlaku kepada mangsa ah long,
hutang itu kemudian berkembang menjadi RM130,000 selain setiap hari kehidupan
Malek termasuk keluarganya diganggu oleh ‘naga’
itu.
‘Nasi sudah
menjadi bubur’ peribahasa itu boleh mengambarkan perasaan Malek yang
mengakui kesal terhadap tindakannya yang berfikiran pendek serta lupa kepada
suruhan Islam agar bersabar dalam membuat keputusan serta menghadapi ujian.
Kini, Malek sentiasa muhasabah diri dan sesekali
timbul kekesalan kerana andainya dia lebih berwaspada dan ikut landasan agama
Islam, tentu dia tidak akan sesekali membuat pinjaman daripada ah long.
SETIAP perkara tentu ada puncanya dan di sebaliknya
pula tentu ada penawar. Begitu juga dengan masalah berleluasa ah long yang
berlaku pada hari ini.
Kesempitan hidup dan kesulitan masalah kewangan
merupakan antara punca rakyat terutamanya umat Islam negara ini meminjam wang
daripada ah long.
Ketika diajukan soalan punca mengapa 90 peratus
peminjam ah long terdiri daripada orang Islam, Ketua Aktivis Persatuan Pengguna
Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johari berkata, segala masalah itu berpunca
daripada karenah birokrasi institusi kewangan dalam meluluskan permohonan
pinjaman.
Beliau memberikan contoh, seorang mangsa ah long
yang membuat aduan kepada PPIM telah memohon pinjaman kepada satu institusi
kewangan untuk kegunaan perniagaannya.
Malangnya proses memakan tempoh agak lama sedangkan
pihak pengurusan atasan telah meluluskan permohonan itu.
“Dalam keadaan
memerlukan, si peminjam terpaksa menggunakan khidmat ah long sementara mendapat
wang daripada institusi kewangan itu. Tetapi kerana karenah birokrasi, proses
itu meleret-leret sehingga berbulan-bulan.
“Peminjam terpaksa
bayar kepada ah long dan bunganya terlalu tinggi. Demi tidak kesanggupan
menanggung hutang itu, dia melakukan pinjaman atas pinjaman kepada ah long
lain, akhirnya sampai jadi 10 along,” ujar Nadzim.
Maka sebab itu, beliau menggesa institusi kewangan
mengkaji semula prosedur pinjaman agar rakyat Malaysia tidak terjerumus dalam
gejala pinjaman ah long.
“Isunya masalah
birokrasi, kadang-kadang peminjam khususnya para peniaga kecil cukup syarat dan
mampu membayar . Tetapi mengapa mereka dibebankan dengan beberapa syarat lalu
pinjaman ditolak.
“Bukan sahaja
melibatkan bank, tetapi institusi kewangan ditubuh kerajaan untuk membantu para
peniaga khususnya untuk orang Melayu turut bersikap demikian. Mengapa ia
berlaku,” kesal Nadzim.
Dalam pada itu, beliau menggesa kerajaan supaya
mewujudkan penanda aras atau KPI kepada mana-mana institusi kewangan khususnya
ditubuhkan dalam membantu orang Melayu yang berjaya melahirkan usahawan berjaya
dan bukannya mementingkan jumlah keuntungan atau pelaburan semata-mata.
Nadzim berkata, sudah masanya orang Melayu yang
berjaya untuk membantu saudara sebangsa dan seagama dalam pelbagai sektor
termasuklah bidang perniagaan.
“Jangan pentingkan
poket diri sendiri, bantulah mereka golongan kurang kemampuan untuk berjaya
dengan membimbing mereka bagaimana untuk menjadi berjaya.
“Jika sikap ini
berlaku, tiada lagi istilah along atau tindakan meminjam wang daripada ceti
haram yang rata-ratanya terdiri selain kaum Melayu,” tegas Nadzim.
Kesempitan hidup
Karenah birokrasi institusi kewangan
Membayar ikat jamin saudara mara di mahkamah
Kehendak melebihi keperluan

Artikel Penuh:
http://www.utusan.com.my/utusan/Keluarga/20131114/ke_02/Merana-kerana-hutang#ixzz2ki1opt1Q
© Utusan Melayu (M) Bhd